Beting Patinggi Ali: KM akan adakan pertemuan dengan Duta China

0
SIDANG MEDIA: Hishammuddin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan dan penghormatan di Makam Pahlawan semalam.

SIDANG MEDIA: Hishammuddin bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas lawatan dan penghormatan di Makam Pahlawan semalam.

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem akan mengadakan pertemuan dengan Duta China Ke Malaysia Dr Huang Huikang bagi mendapatkan penjelasan mengenai kapal pengawal pantai China yang didakwa berada berhampiran Beting Patinggi Ali dekat Miri.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang memberitahu demikian menambah tarikh perjumpaan dua pihak itu masih belum dapat dipastikan tetapi akan diadakan dalam masa terdekat.

Sambil menegaskan kapal pengawal pantai China itu tidak berada dalam perairan negara, Hishammuddin berkata diharapkan duta China pada pertemuan itu kelak akan menjelaskan tujuan dan rancangan negara itu dengan kehadiran aset mereka berhampiran Beting Patinggi Ali.

“Kita di peringkat kementerian akan mengatur pertemuan ini dalam masa terdekat dan saya telah arahkan Panglima Tentera Laut bersama Timbalan saya Datuk Mohd Johari Baharum untuk turut serta dalam pertemuan itu nanti.

“Kita juga berharap hasil daripada pertemuan itu nanti akan dapat  membantu memberi keyakinan kepada rakyat bahawa keadaan di perairan itu adalah terkawal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan dan acara penghormatan di Makam Pahlawan yang terletak di Jalan Taman Budaya bersama Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) di sini semalam.

Mengulas lebih lanjut mengenai isu geopolitik Lautan China Selatan termasuk di Beting Patinggi Ali itu, Hishammuddin berkata tindakan ketenteraan adalah penyelesaian terakhir lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kuasa besar seperti China.

“Jemaah Menteri baru-baru ini telah membincangkan perkara ini dan telah membuat pendirian bahawa setakat hari ini tiada keperluan untuk kita membawa tindakan ketenteraan dengan kuasa besar ini.

“Kita akan mencuba sedaya upaya mencari jalan penyelesaian situasi menang-menang melalui saluran diplomasi bagi memastikan kestabilan bukan sahaja  untuk negara kita tetapi juga serantau,” ujarnya.

Hishammuddin berkata, Malaysia bernasib baik kerana negara bukan sahaja memiliki hubungan diplomatik yang baik dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China, tetapi juga dari segi hubungan ‘diplomasi ketenteraan.’

Beliau berkata menerusi kelebihan ini, ia diharap akan dapat membantu dalam mencari penyelesaian yang baik ketika berhadapan apa jua persoalan yang timbul, kerana menurutnya isu berkaitan geopolitik Laut China Selatan cukup kompleks dan tidak mudah untuk ditangani, apa lagi apabila ia berkaitan dengan kuasa besar.

Kehadiran kapal pengawal pantai China yang didakwa berada berhampiran Gugusan Beting Patinggi Ali sejak kebelakangan ini telah menimbulkan kebimbangan dan ketakutan di kalangan nelayan tempatan.

Kawasan itu merupakan pusat tangkapan popular nelayan tempatan dan berada di dalam kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia, berdasarkan peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLOS 1982).