DUN Mambong perlu diwakili calon SUPP atau PBB

0
PENDIRIAN: Dr Dawos (duduk tengah) diapit (dari kiri) Clif, Sora dan Deeta di pejabat PBB Mambong semalam.

PENDIRIAN: Dr Dawos (duduk tengah) diapit (dari kiri) Clif, Sora dan Deeta di pejabat PBB Mambong semalam.

Jika kerusi itu tidak diberi kepada SUPP, maka ia harus diberi kepada PBB sebagai pilihan pertama

Oleh Henrietta Liza //

KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong perlu diwakili oleh calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) atau Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan bukan menjadi buruan Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Ahli Parlimen Mambong Dato Sri Dr James Dawos Mamit memberi penjelasan maklum balas Ketua Bahagian PRS Tarat, Edward Kurik dalam kenyataannya semalam.

“Ia cuma sekadar retorik sahaja dengan mengharapkan agar Ketua Menteri memberi mereka kerusi tersebut.

“Selepas ini tidak pula mereka dapat menjalankan perkhidmatan untuk rakyat apabila mereka tahu kerusi tersebut sudah diwarisi SUPP Bengoh sejak sekian lama,” katanya.

Tambahnya, jika dilihat secara kasar kekuatan sedia ada PBB telah lama menjadi tulang belakang SUPP membuatkan pihaknya layak menjadi pilihan kedua mewakili Barisan Nasional (BN) bagi DUN Mambong.

Bagaimanapun kenyataan Presiden PRS, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing sebelum ini tidak mengiyakan atau menolak bahawa kerusi DUN Mambong akan diberikan kepada partinya.

Tetapi, beliau menyatakan kesediaan partinya mengambil alih satu lagi kerusi daripada 11 buah kerusi dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Ia bukan persoalan siapa diletakkan di kerusi terbabit tetapi persoalannya apakah anda akan menang untuk kerusi itu. Jadi ia tidak mengambil kira sama ada kerusi itu untuk Bidayuh, Iban atau Orang Ulu,” jelasnya.

Edward juga menyatakan bahawa PRS meminta agar diberi peluang untuk bertanding di DUN Mambong.

Dr Dawos menyatakan bahawa ahli-ahli PBB di Mambong sebanyak 30 peratus melebihi 5,000 ahli daripada lebih kurang 10,000 pengundi sebagai bukti kekuatan kepimpinan PBB.

Katanya, DUN Mambong sudah terdapat 43 ranting PBB daripada lebih 40 kampung di kawasan Mambong.

“PRS tidak ada asas untuk berbuat demikian lagipun apa yang mereka lakukan untuk kawasan Mambong sejak pilihan raya lalu?

“Politik adalah kerja… jangan jadikan ia retorik semata-mata. Jangan lupa bahawa PBB sudah lama berkhidmat dan mendapat tempat di hati rakyat buktinya pada pilihan raya Parlimen lalu.

“Calon PBB mewakili BN di kawasan itu tidak pernah kalah… jika kerusi tersebut tidak diberikan kepada SUPP maka seharusnya diberikan kepada PBB sebagai pilihan pertama kerana kita mempunyai kekuatan dan sudah tercatat dalam sejarah kita pernah memenangi kawasan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga penasihat PBB Mambong memberitahu bahawa pernah menulis surat kepada Setiausaha Agung PBB untuk meminta kawasan Mambong dipertimbangkan kepada calon PBB jika tidak ditempatkan calon SUPP.

Dr Dawos sendiri pernah memberitahu Ketua Menteri bahawa beliau telah melatih beberapa orang kalangan ahli PBB Mambong menjadi calon dan bakal berdiri di kerusi DUN Mambong.

Turut hadir Pengerusi PBB Mambong Sora Rusah, Timbalannya Deeta Simon dan Setiausaha Agung PBB Mambong Clif Mengud.