S’wak tetap jadikan BI bahasa utama

0
ULANG TAHUN: Adenan (tengah) Lee, Sim memotong kek sempena ulang tahun kali kedua Adenan sebagai Ketua Menteri sambil diperhatikan kenamaan lain.

ULANG TAHUN: Adenan (tengah) Lee, Sim memotong kek sempena ulang tahun kali kedua Adenan sebagai Ketua Menteri sambil diperhatikan kenamaan lain.

Adenan terus usaha kembalikan autonomi negeri khasnya dalam pendidikan

Oleh Sudan Ajang //

MIRI: Sarawak tetap bertegas dengan keputusannya menjadikan bahasa Inggeris (BI) sebagai bahasa utama dalam bidang pendidikan meskipun ada suara-suara bantahan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mahu terus mengembalikan kuasa-kuasa autonomi kepada Sarawak terutamanya dalam bidang pendidikan.

“Pendidikan negara gagal kerana meminggirkan bahasa Inggeris. Beribu-ribu graduan lepasan universiti tidak dapat bekerja kerana tidak menguasai bahasa Inggeris. Sarawak sedar akan kegagalan ini dan oleh itu kita mahu menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama di negeri ini.

“Saya tidak peduli apa KL (Persekutuan) kata, kalau seluruh Sarawak mahukannya dan mahu menerimanya. Kita bersikap lebih terbuka. Dalam pada kita mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita tidak boleh meminggirkan bahasa Inggeris begitu sahaja,” katanya pada jamuan malam Tahun Baharu Cina (TBC) anjuran Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Parlimen Miri dan Sibuti di sini malam kelmarin.

Dalam perkembangan lain, Adenan menegaskan bahawa UMNO tidak akan dibenar masuk ke Sarawak.

“UMNO boleh membantu Sarawak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tetapi mereka tidak boleh bertapak ataupun membuka cawangan di Sarawak. Parti dari Semenanjung Malaysia tidak boleh mengatakan apa yang perlu dibuat oleh Sarawak kerana kita lebih tahu apa yang perlu dibuat untuk Sarawak,” katanya sambil menambah orang Sarawak lebih memahami mengenai Sarawak, bukan orang luar.

Terdahulu itu, Presiden SUPP Senator Datuk Dr Sim Kui Hian dalam ucapannya memberi jaminan kepada Ketua Menteri membawa kejayaan Barisan Nasional (BN) pada PRN nanti dengan mengembalikan semua kerusi milik SUPP kepada BN.

“SUPP kini sudah bersedia dengan barisan calon muda dan sedia berkhidmat untuk rakyat. Kita juga telah lama turun padang bertemu rakyat peringkat akar umbi bagi mengembalikan kepercayaan rakyat kepada parti.

“Ketua Menteri boleh meletakkan kepercayaan kepada kita dan menuntut kesetiaan daripada SUPP bukan sahaja pada masa kini tetapi juga pada PRN akan datang,” katanya.

Hadir sama isteri Ketua Menteri Datin Patinggi Puan Sri Datuk Jamilah Anu, bekas presiden SUPP Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Setiausaha Kehormat SUPP merangkap Pengerusi SUPP Piasau Datuk Sebastian Ting, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin Datuk Lee Kim Shin, Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, ADUN Lambir Ripin Lamat serta kenamaan lain.