Tidak gentar

0
RASMI: Adenan (empat kiri) ditemani (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Asfia, Awang Tengah dan kenamaan lain ketika merasmi Program Memperkasa Jentera PRN di Lawas, semalam.

RASMI: Adenan (empat kiri) ditemani (dari kiri) Dr Abdul Rahman, Asfia, Awang Tengah dan kenamaan lain ketika merasmi Program Memperkasa Jentera PRN di Lawas, semalam.

BN yakin menang besar PRN, termasuk rampas kembali kerusi Ba’ Kelalan.

Oleh Mastura Ismail //

LAWAS: Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak gentar untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang sekali gus yakin meraih kemenangan besar termasuk merampas kembali kerusi Ba’ Kelalan daripada parti pembangkang.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, kerusi Ba’ Kelalan akan kembali ke tangan BN sekiranya semua parti komponen BN bersatu padu dan mengelak pergaduhan.

“Kita dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan BN tidak gentar dan takut  untuk menghadapi PRN akan datang ini.

“Kita akan menghadapi PRN dengan yakin, dengan kepercayaan boleh menang, termasuk merampas kembali Ba’ Kelalan asalkan kita bersatu padu dan tidak bergaduh,” ujarnya pada Program Memperkasa Jentera Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-11 Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak Cawangan Bukit Kota, Batu Danau, Bukit Sari dan Ba’ Kelalan di Stadium Tertutup Lawas, semalam.

Turut hadir isteri Adenan Datin Patinggi Datuk Jamilah Anu, Speakar DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, isteri Awang Tengah Datuk Dayang Morliah Awang Daud, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agung, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan jawatankuasa tertinggi PBB.

Kerusi Ba’ Kelalan disandang oleh Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Baru Bian selepas menewaskan calon BN-SPDP  Willie Liau pada PRN 2011 dengan majoriti 473 undi.

Adenan berkata, PBB merupakan parti yang kukuh dan sudah bersedia untuk menghadapi PRN yang akan diadakan tidak lama lagi.

Jelasnya, kekuatan yang dimiliki adalah hasil kesepaduan dan kesepakatan parti tulang belakang BN negeri itu berdasarkan pengalaman diuji pada pilihan raya terdahulu.

Justeru, beliau mahu rakyat terus memberi mandat dan tempoh lima tahun lagi kepadanya untuk terus mentadbir negeri.

“Banyak lagi kerja akan dibuat jika diberi tempoh lima tahun lagi khususnya dalam membawa lebih banyak pembangunan di negeri ini,” katanya.

Jelas Adenan, pihaknya juga akan meneruskan rundingan dengan kerajaan pusat berhubung isu pentadbiran, akta-akta persekutuan dan isu royalti minyak.

Katanya, banyak perubahan sudah dilakukan sejak beliau menjadi Ketua Menteri dua tahun lepas.

“Saya ingin terus menolong rakyat termasuk mengangkat maruah orang negeri Sarawak dan tidak mahu mereka digelar lain-lain,” katanya sambil menegaskan, masyarakat Cina di negeri ini tidak seharusnya  digelar pendatang.

“Mereka bukan orang pendatang dan inilah tanahair mereka dan di sini mereka dilahirkan dan dididik,”katanya.

Menurut beliau lagi, Sarawak juga mengamalkan kebebasan beragama sekali gus mengamalkan dasar pintu tertutup untuk golongan ekstremis dan suka bergaduh dari Semenanjung Malaysia.