Zaman penuh cabaran tuntut rakyat belajar sepanjang hayat: Pairin

0
APA KHABAR: Pairin bersalaman dengan orang ramai sebaik tiba pada majlis itu.

APA KHABAR: Pairin bersalaman dengan orang ramai sebaik tiba pada majlis itu.

TAMBUNAN: Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, kerajaan negeri mahu rakyat mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat tanpa mengira di mana mereka berada.

Katanya, ilmu pengetahuan merupakan sumber utama dalam daya persaingan dengan memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang.

“Ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan negara kita dalam masa yang sama meningkatkan ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan,” katanya semasa berucap merasmikan bangunan baharu Perpustakaan Negeri Sabah cawangan Tambunan yang menelan kos RM4 juta di sini kelmarin.

Katanya, kerajaan juga memberi keutamaan kepada sektor pendidikan termasuk pendidikan tidak formal melalui kemudahan dan perkhidmatan perpustakaan.

Menurut beliau, dalam zaman yang penuh dengan cabaran masa kini, menuntut setiap rakyat memiliki ilmu pengetahuan merupakan sumber utama untuk melahirkan modal insan yang berkualiti untuk bersaing di peringkat global.

“Kita mahu melihat pencapaian pelajar-pelajar khususnya di negeri ini cemerlang dan penyediaan perkhidmatan perpustakaan yang lengkap dan dapat memberi sumbangan kepada peningkatan pembelajaran pelajar-pelajar sama ada di bandar mahupun di luar bandar.

“Peluang yang sama yang menetap di luar bandar, sama seperti yang menetap di bandar-bandar besar seperti Kota Kinabalu, Sandakan atau Tawau,” katanya.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur berkata, kerajaan negeri memberi perhatian penuh kepada perkhidmatan perpustakaan yang disediakan di peringkat wilayah, cawangan, pekan dan Perpustakaan Desa agar setiap golongan masyarakat tidak terpinggir.

Beliau juga ingin agar perpustakaan ini digunakan dengan sebaik-baiknya oleh masyarakat daerah ini untuk menjaga dan menggunakan kemudahan yang disediakan di bangunan ini sebagai warganegara yang bertanggungjawab.

“Jangan mengotorkan atau merosakkan perabot-perabot yang terdapat di bangunan ini. Selain daripada bangunan baharu ini, saya juga dimaklumkan bahawa perpustakaan ini turut menerima sebuah bas Perpustakaan Bergerak yang baharu.

“Perpustakaan Bergerak ini memberi perkhidmatan di 16 buah sekolah di daerah ini,” katanya.

Pairin juga dimaklumkan bahawa pembukaan koleksi buku berjumlah 40,000 merangkumi buku-buku dalam bahasa Malaysia, bahasa Inggeris dan bahasa Cina.

Di samping itu katanya, Perpustakaan Negeri Sabah juga mempunyai lebih daripada 10,000 koleksi buku digital yang boleh dimuat turun ke ‘smartphones’ atau komputer peribadi selain bangunan ini juga dilengkapi dengan kemudahan WiFi bagi tujuan akses Internet.

Adalah menjadi harapan beliau agar masyarakat di daerah ini akan selalu mengunjungi perpustakaan ini dan menjadi amalan membaca sebagai budaya ke arah menjadi sebuah masyarakat yang kaya dengan ilmu dan bermaklumat.

Katanya, ini akan membantu mereka dalam menjadikan sebuah masyarakat yang lebih progresif sesuai dengan hasrat kerajaan untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi.

Pairin yang juga Ahli Parlimen Keningau berkata, bangunan baharu ini akan menambahkan lagi keindahan dan menjadi mercu tanda serta kebanggaan masyarakat di daerah ini.

Pada masa ini katanya, masyarakat khususnya pelajar-pelajar di daerah ini akan mempunyai ruang perpustakaan dan tempat belajar yang lebih luas dan kondusif.

Hadir sama pada majlis itu, Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Anita Baranting, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Janet Chee, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah Wong Vui Yin, Pegawai Daerah Thomas Logijin, ketua-ketua Jabatan kerajaan negeri dan Persekutuan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.