Kerajaan negeri puji kecekapan polis tahan dalang

0

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memuji kecekapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) negeri yang bertindak pantas menahan enam individu dipercayai menjadi dalang penyaluran maklumat dan bantuan kepada penjenayah asing.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Teo Chee Kang semasa menyampaikan penghargaan itu berkata kerajaan negeri sememangnya sentiasa yakin dengan kebijaksanaan dan kecekapan PDRM dalam memastikan keselamatan terjamin.

Beliau berkata penahanan enam individu itu membuktikan pasukan risikan polis memiliki kepakaran dan kecanggihan terutama dari segi menerima maklumat tentang sesuatu jenayah dan mengawal permasalahan itu daripada terus berleluasa.

“Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan dan keyakinan kepada polis dalam mereka melakukan yang terbaik untuk menjaga keselamatan dan kesejahteraan negeri ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Parti Liberal Demokratik (LDP) di sini semalam.

Kelmarin, polis Sabah menahan enam individu terbabit, yang akan disiasat mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selain menahan 514 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam operasi bersepadu di sebuah penempatan setinggan berhampiran pekan Telipok, dekat sini.

Mengulas masalah penempatan setinggan, Teo berkata kerajaan negeri sentiasa komited untuk mengatasi permasalahan itu dengan menggariskan beberapa perancangan dan pendekatan terbaik kerana menyedari penempatan setinggan akan mendatangkan masalah sosial jika tidak dikawal. — Bernama