Permulaan baik pasukan PDRM

0

MELAKA: Kemenangan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menentang Sarawak di Stadium Hang Jebat di sini malam kelmarin satu permulaan baik memburu kemenangan kedua menentang Kelantan Selasa ini, kata Ketua Jurulatihnya Mohd Fauzi Pilus.

Beliau berkata pemain pasukan itu telah mengikut percaturan ditetapkan dan berdisiplin menangkis serangan dan cubaan pasukan anak didik bekas jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal.

Sementara itu, Rajagobal berkata kekalahan Skuad Bujang Senang itu dilihat kerana pemain tidak menunjukkan permainan sebenar dengan beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki bagi menghadapi perlawanan seterusnya.

“Apa yang saya nampak pamain lebih bertahan daripada melakukan serangan.

Sedikit perbezaan hanya dapat dilihat pada masa kedua yang mana kita mempunyai peluang namun tidak dapat menembusi pertahanan PDRM.

“Perjalanan pasukan ini masih panjang kerana ini baharu perlawanan pertama.

Pemain kena sedar perjalanan kita bukan senang dan ada perlawanan sukar yang perlu ditempuhi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rajagobal berkata pihak pengurusan pasukan itu diharap dapat menyelesaikan status Syahrul Azwari Ibrahim bagi membolehkan bekas pemain Harimau Muda A itu segera beraksi dalam perlawanan seterusnya.  — Bernama