Lelaki warga asing terburai perut

0

Oleh Jeremy Lanson//

KUCHING: Seorang lelaki warga asing ditemui mati dalam keadaan perut terburai dipercayai akibat ditikam dengan pisau di sebuah rumah kongsi di Demak Laut dekat sini, semalam.

Menurut sumber, mangsa hanya dikenali sebagai Dimas berusia 30-an dan berasal dari Indonesia ditemui oleh rakannya dalam keadaan sedemikian yang kemudian terus menghubungi ambulans untuk bantuan sekitar jam 4 petang.

Difahamkan, mangsa baharu tiba di rumah kongsi berkenaan untuk berjumpa dengan kawannya.

“Mangsa tidak lagi bekerja, tetapi dia ke sana (tempat kejadian) kerana ingin berjumpa dengan kawannya.

“Sekitar jam 4 petang tadi (semalam), kawan mangsa yang pulang dari kerja, terkejut apabila melihat mangsa baring dan berlumuran darah menyebabkan dia terus memaklumkan kepada rakan yang lain serta menghubungi ambulans,” kata sumber.

Bagaimanapun, mangsa yang mengalami kecederaan parah di perut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Keadaan perut mangsa terburai akibat ditikam dan turut ditemui berhampiran mangsa ialah sebilah pisau dipercayai senjata yang digunakan semasa kejadian,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan beberapa anggota dari balai polis berhampiran juga hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Roslan Bek Ahmad mengesahkan ada menerima maklumat berhubung kejadian.