Rundingan kuasa langkah terbaik Adenan

0

// Oleh Saibi Gi //

FASA PERTAMA SELESAI: Rundingan penurunan kuasa disifatkan Adenan (duduk tengah) sebagai positif apabila fasa pertamanya mengenai pentadbiran dipersetujui Najib.

FASA PERTAMA SELESAI: Rundingan penurunan kuasa disifatkan Adenan (duduk tengah) sebagai positif apabila fasa pertamanya mengenai pentadbiran dipersetujui Najib.

MALAYSIA dibentuk menerusi gabungan empat wilayah di Asia Tenggara yang merangkumi Tanah Melayu, Singapura (keluar pada 1965), Sabah dan Sarawak di mana penubuhannya diisytiharkan pada 16 September, 1963.

Terbentuknya negara baharu yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia itu adalah hasil persetujuan pihak keempat-empat wilayah tersebut apabila termeterainya Perjanjian Malaysia 1963.

Perjanjian Malaysia 1963 termeterai susulan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) yang merangkumi perlindungan hak-hak Sarawak dan Sabah.

Tidak ramai rakyat Sarawak mahupun Sabah sedar bahawa dua dokumen ini melindungi hak mereka sebagai wilayah yang sama-sama membentuk Persekutuan Malaysia.

Cuma yang seringkali kita dengar ialah frasa ‘Sarawak dan Sabah tidak menyertai Malaysia, sebaliknya dua wilayah ini bersama dengan Malaya membentuk satu persekutuan’.

Mungkin susulan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berserta meluasnya penggunaan media sosial terutamanya Facebook, sejak kebelakangan ini kesedaran dan semangat penduduk Sarawak mengenai hak Sarawak dalam Malaysia boleh disifatkan sebagai meningkat.

‘Sarawak sekadar menuntut hak yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan ICG, bukan hendak keluar daripada Malaysia atau menentang kerajaan Persekutuan’, itu adalah hakikat yang amat ditegaskan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem agar tidak ada pihak yang cuba menangguk di air keruh di sebalik usaha kerajaan negeri.

Populariti Adenan dikatakan meningkat di kalangan warga Sarawak apabila beliau ternyata serius dan mengadakan dialog diplomatik dengan kerajaan Persekutuan bagi menuntut autonomi Sarawak.

Menjelang 22 Julai. 2015, kian bergema laungan ‘Sarawak for Sarawakians’ (S4S) di seluruh Sarawak malah ia turut dijadikan pelekat kereta yang popular di kalangan warga Sarawak.

Tidak dinafikan kewujudan pihak yang bergerak di bawah S4S telah meniupkan suara agar hak Sarawak wajar dikembalikan kepada negeri.

Baru-baru ini, Adenan pada satu majlis di Miri memaklumkan akan memohon daripada kerajaan persekutuan agar Sarawak diberikan cuti umum sempena tarikh kemerdekaan pada 22 Julai.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi daripada Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menerusi artikel dalam The Malaysian Insider menjelaskan Adenan seperti kebanyakan warga Sarawak lain yang melihat kepentingan perjanjian 18 perkara Sarawak dalam pembentukan Malaysia perlu dihormati.

ZAINNAL AJAMAIN

ZAINNAL AJAMAIN

KUASA BESAR

“Beliau sendiri menegaskan kerajaan negeri bersetuju dengan sentimen isu-isu yang berkaitan dengan Sarawak,” ujar Azman yang pada masa sama menegaskan, Adenan tidak menafikan Sarawak telah menikmati banyak faedah hasil pembentukan Malaysia.

Kesungguhan Adenan tidak wajar dipertikaikan dalam hal menuntut hak autonomi Sarawak.

Perbincangannya yang pertama dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 20 Januari lalu di Putrajaya disifatkannya sebagai positif.

Perbincangan itu ujarnya membincangkan fasa pertama yang membabitkan perkara berkaitan pentadbiran.

Fasa kedua pula bakal merangkumi hak-hak dan perlembagaan persekutan manakala fasa ketiga berkaitan pengurusan kewangan.

“Oleh sebab itu saya memerlukan mandat yang besar pada pilihan raya negeri nanti, supaya saya berada dalam posisi mantap untuk meneruskan rundingan fasa kedua dan ketiga bersama Perdana Menteri,” katanya dipetik.

Adenan yang lebih gemar dipanggil sebagai ‘CM Adenan’ menegaskan kerajaan negeri serius dalam perkara ini dan bukan retorik politik semata-mata seperti mana yang digembar-gemburkan ahli politik parti pembangkang.

Beliau menepis dakwaan itu dengan menyifatkan pihak pembangkang yang melihat rundingannya sebagai gagal, merupakan golongan yang enggan melihat Sarawak mendapat kembali autonomi seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Stail Adenan menuntut hak Sarawak mendapat perhatian dan pujian penulis buku “The Queen’s Obligation” Zainnal Ajamain dari Sabah.

Beliau menyifatkan usaha Ketua Menteri sebagai cara ‘gentleman’.

“Beliau tahu kelebihan Sarawak, beliau juga tahu ‘kelemahan’ Malaya tetapi masih cermat dalam berkata-kata.

“Istilah lebih tepat, Adenan gunakan cara ‘rundingan tersusun’,” katanya lanjut.

“Ini bererti pendekatan Adenan adalah secara tersusun dan tidak bersifat semborono atau riak.

“Di samping itu Adenan tidak gunakan 18 Perkara atau 20 Perkara yang tidak ada kuasa undang-undang.

“Dia gunakan Perjanjian Malaysia 1963. Pilihan dia bijak dan selamat,” menurut laman Facebook Haji Julaihi Suut yang memetik kata Zainnal.

Kepada Utusan Borneo, Zainnal berpesan: “Boleh digunakan artikel ringkas yang ditulis oleh laman FB Haji Julaihi Suut kerana ia memang menggambarkan pendapat saya.”

Zainnal dipetik menerusi FB Haji Julaihi menjelaskan Perjanjian Malaysia 1963 adalah dokumen paling berkuasa di Malaysia.

Ia merupakan satu perjanjian antarabangsa yang tidak boleh dibatalkan oleh mana-mana sidang Parlimen di Malaysia dan harus dipatuhi.

KEMBALIKAN HAK

Pada 8 Disember, 2015, Dewan Undangan Negeri Sarawak sebulat suara memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengambil tindakan melindungi hak dan kepentingan Sarawak seperti mana yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Usul itu dibentang Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Dr James Masing.

Masing dipetik berkata, Artikel VII Perjanjian Malaysia 1963 memberi jaminan hak-hak kerajaan negeri akan dilindungi seperti diperuntukkan dalam IGC.

“Oleh itu, Dewan ini memberi mandat kepada kerajaan negeri melakukan rundingan dengan kerajaan persekutuan untuk menyemak serta menyusun semula dasar-dasar Persekutuan dalam pendidikan, kesihatan dan bahasa rasmi.

“Semakan dan susunan semula itu penting supaya selaras dengan melindungi Perlembagaan dan terma-terma Laporan IGC,” kata Masing.

Zainnal, apabila diajukan satu soalan, berpendapat Adenan memperjuang hak Sarawak bukan semata-mata untuk memancing undi pada Pilihan Raya Negeri ke-11.

“Pada umur sekarang Adenan tidak perlu memancing undi. Beliau perlu diberikan sokongan rakyat Sarawak untuk membuat tuntutan.

“Kuasa Dewan Undangan Negeri penting kerana hanya ia boleh menurunkan kuasa untuk menuntut dengan Putrajaya,” jelasnya.

Putrajaya menurutnya, wajar memberi perhatian serius terhadap semua tuntutan yang disenaraikan kerajaan negeri menerusi rundingan Adenan.

“Kita mesti faham Perjanjian Malaysia 1963 adalah bertaraf antarabangsa dan hanya boleh diselesaikan di peringkat antarabangsa.

“Apabila tuntutan tidak dipenuhi ini memberi kita alasan ‘ada pertikaian’ dan ini memberikan kita alasan membawa pertikaian ini ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan hak Sarawak akan dikembalikan dan kerajaan Persekutuan tidak ada niat hendak mengambilnya.

Pada 31 Januari lalu, Najib pada satu majlis di Bintulu dipetik berkata: “Saya tak ada hajat nak ambil hak Sarawak, kalau ada kita ambil hak kita boleh serah balik.”

Ia dibuktikan dengan persetujuan Putrajaya menerusi rundingan dengan Adenan yang dikenali sebagai fasa pertama penurunan kuasa.

Najib menegaskan, pihaknya hanya mengadakan rundingan dengan Adenan (kerajaan negeri), seperti yang diluluskan menerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 8 Disember tahun lepas.

FASA PERTAMA RUNDINGAN PENURUNAN KUASA

1. Pegawai undang-undang negeri diberi kuasa oleh pendakwa raya di bawah Kanun Prosedur Jenayah untuk menjalankan pendakwaan atas kesalahan di bawah Ordinan Negeri dari negeri di mana seseorang itu didakwa di Mahkamah Rendah sehingga peringkat Mahkamah Rayuan.

2. Turut dipersetujui penurunan kuasa kepada pegawai negeri untuk mewakili Suruhanjaya Perkhidmatan Awam dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan dalam pelantikan pegawai ke Jabatan Perkhidmatan Persekutuan termasuk perkhidmatan perubatan dan perguruan.

3. Jawatan di Jabatan Imigresen Negeri juga akan dipertingkat untuk memperbaiki fungsi penguatkuasaan di negeri ini dengan penambahan 100 jawatan baharu untuk diisi warga Sarawak, dengan pekerjaan sepenuhnya menjelang Februari 2016.

4. Nisbah guru-guru kelahiran Sarawak yang berkhidmat di Sarawak akan dipertingkat kepada 90 peratus daripada jumlah keseluruhan guru di Sarawak menjelang 2018. Bagi memastikan sasaran ini dicapai, guru sementara dari pasaran terbuka akan dipertimbang dari semasa ke semasa dan mereka boleh mendapatkan Diploma Pendidikan ketika mengajar.

5. Kuasa warden trafik bagi pihak berkuasa tempatan di Sarawak akan diberikan kepada Majlis Bandaraya Miri, selain Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Majlis Bandaraya Kuching Selatan.

6. Kerajaan negeri akan dirujuk sebelum permohonan bagi permit menangkap ikan di laut dalam dikemukakan kepada Jawatankuasa Penilaian Permit Laut Dalam untuk dipertimbang, terutamanya apabila lesen itu adalah untuk operasi di perairan Sarawak.

7. Kerajaan negeri akan terlebih dahulu dirujuk dalam usaha merangka rang undang-undang persekutuan yang memberi kesan atau impak kepada Kerajaan Negeri Sarawak, menurut peruntukan undang-undang.

8. Perancangan bagi projek kerajaan persekutuan di negeri Sarawak akan memberi keutamaan kepada Pelan Pembangunan Negeri Sarawak selama lima tahun berdasarkan bajet yang diluluskan. Perlak-sanaan projek akan dirujuk atau dibincang di antara kementerian dengan kerajaan negeri dalam perkara seperti menentukan lokasi sekolah dan hospital, pelantikan perunding, pemaju dan kontraktor, selain perlaksanaan projek pembangunan lain.

9. Kementerian akan mengambil langkah perlu untuk meningkatkan jumlah pelajar dari kalangan rakyat Sarawak yang mendaftar diri untuk program ijazah perubatan di universiti awam. Warga Sarawak akan diberi peluang lebih tinggi untuk menyertai program pengajian asas di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

10. Telah dipersetujui bidang relevan yang dapat diturunkan akan dikenal pasti untuk menurunkan kuasa ketua pengarah di bawah Seksyen 49 Akta Kualiti Alam Sekitar 1974 kepada jabatan atau pegawai negeri.

11. Pembangunan projek perumahan di Sarawak akan dilaksanakan semula menerusi mesyuarat jawatankuasa bersama untuk memastikan agensi negeri terlibat sepenuhnya dalam perancangan, pelaksa-naan dan pemantauan aspek projek ini di negeri Sarawak.

12. Telah dipersetujui pembangunan sukan di negeri Sarawak akan diurus bersama kerajaan negeri. Kementerian Belia dan Sukan juga dalam proses untuk memperbaiki lagi Akta Pembangunan Sukan 1997 yang dijangka siap menjelang hujung 2016.

13. Telah dipersetujui bahawa kerajaan negeri akan menjalankan semua fungsi di bawah Jabatan Kebajikan Sosial. Semua jawatan akan dipindahkan ke jabatan perkhidmatan awam negeri. Kerajaan persekutuan akan menyumbang 50 peratus kos yang ditanggung seperti yang diputuskan Majlis Kewangan Negara.