Kes denggi di Sandakan menurun 60%

0

Hasil pelaksanaan Operasi Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi Sandakan

TELITI: Pemeriksaan alatan dan penyerahan racun sebelum ke lapangan.

TELITI: Pemeriksaan alatan dan penyerahan racun sebelum ke lapangan.

SANDAKAN: Bilangan kes denggi di daerah ini telah menurun sebanyak 60 peratus iaitu dari 51 kes kepada 21 kes seminggu, selepas pelaksanaan Operasi Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi Sandakan bermula 15 Februari lepas.

Selain itu, bilangan lokaliti wabak aktif juga telah menurun sebanyak 40 peratus dari 27 kepada 16 lokaliti sahaja.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dalam satu kenyataan di sini berkata, impak positif kepada magnitud wabak di Sandakan itu adalah hasil pelaksanaan beberapa aktiviti di bawah Operasi Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi Sandakan.

Ia termasuk melakukan aktiviti penghapusan tempat pembiakan dan pemeriksaan sebanyak 3,609 premis di 25 buah lokaliti dan aktiviti semburan di 46 buah lokaliti yang meliputi kawasan seluas 179.7 hektar manakala 16 lokaliti lagi diliputi dengan semburan menggunakan mesin ULV.

Aktiviti lain termasuk menjalankan aktiviti gotong-royong di lapan buah lokaliti dan mewujudkan 25 pondok panas di beberapa lokasi strategik sekitar Bandar Sandakan selain mengeluarkan lapan kompaun bernilai RM4,000 dan 15 notis arahan pembersihan.

Ops Mega Kawalan dan Pencegahan Denggi di Sandakan melibatkan seramai 143 anggota kesihatan pelbagai kategori dari seluruh Sabah yang terdiri daripada pasukan Kawalan dan Pencegahan, Entomologi (Kaji Serangga) dan Promosi Kesihatan.

Dalam pada itu, pihak JKNS berharap masyarakat akan terus memainkan peranan yang aktif seperti membersihkan kawasan persekitaran masing-masing; memastikan bekas simpanan air ditutup rapi; menggunakan ubat jentik-jentik; menggunakan repelen dan memakai baju panjang semasa berada di luar rumah; menyembur racun serangga serta mengelakkan pembuangan sampah secara haram.

Individu yang mengalami simptom demam, sakit badan, sakit sendi, muntah atau sakit kepala juga diminta mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran bagi mencegah komplikasi akibat denggi selain mengelak berlaku kematian.