Tahap keselamatan di Sabah terkawal

0
LAWATAN: Nur Jazlan (tengah) melawat Pangkalan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am semalam. — Gambar Bernama

LAWATAN: Nur Jazlan (tengah) melawat Pangkalan Batalion 15 Pasukan Gerakan Am semalam. — Gambar Bernama

Rakyat tidak perlu takut biarpun amaran perjalanan dikeluarkan oleh Australia dan UK

SANDAKAN: Tahap keselamatan di negeri ini khususnya di pantai timur terkawal biarpun terdapat nasihat perjalanan kerajaan Australia dan United Kingdom kepada rakyatnya yang ingin melancong ke Sabah.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, rakyat Sabah tidak perlu takut biarpun amaran perjalanan dikeluarkan oleh dua negara itu yang menyebut keselamatan di negeri ini kurang baik.

“Saya mahu nyatakan bahawa dalam lawatan saya ke sini (Sabah) kalau keselamatan tidak baik sudah tentu saya tidak datang untuk membuat lawatan kerja.

“Rakyat Sabah tidak perlu takut. Tiga tahun dahulu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) tidak wujud dan kini ESSCom sudah wujud yang sentiasa mempertingkatkan keupayaan di laut dan darat,” katanya pada sidang media selepas lawatan kerja di Pejabat Pasukan Gerakan Am Batalion 15 di sini, semalam.

Beliau dalam rangka lawatan kerja di negeri ini sejak tiga hari lepas bermula di Kota Kinabalu dan Kudat, manakala semalam di sini dan hari ini di Lahad Datuk bagi meninjau kawalan keselamatan agensi keselamatan di bawah ESSCom.

Beliau berkata pewujudan ESSCom memberi satu kawalan keselamatan di Sabah dalam memastikan kedaulatan negeri ini tidak mudah dicabul seperti yang berlaku tiga tahun lepas menerusi pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu.

Katanya kerja secara bersepadu oleh ESSCom ada pelbagai, bukan sahaja untuk menangkis serangan yang dirancang oleh pengganas tetapi lebih luas mengawal sempadan perairan di pantai timur Sabah.

Menurutnya sempadan di perairan Sabah dengan negara jiran yang panjang boleh dibolosi pelbagai anasir tidak diingini khususnya dalam aktiviti penyeludupan, jenayah rentas sempadan dan penyeludupan manusia.

Nur Jazlan berkata sebab itu usaha dibuat sekarang adalah memperketatkan peraturan dan kawalan terhadap dua aktiviti iaitu penyeludupan dan jenayah rentas sempadan.

Katanya ini termasuklah untuk meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan berhati-hati mengeluarkan apa-apa lesen kepada pengeksport dan pengedar yang boleh disalah guna untuk penyeludupan.

Selain itu, beliau berkata isu mengenai pendaftaran kapal Kumpit dari selatan Filipina yang didakwa menyumbang kepada aktiviti penyeludupan turut diberi perhatian.

Dalam pada itu, Nur Jazlan berkata kebajikan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan Zon Keselamatan Timur Sabah (ESSZone) perlu diambil kira.

Katanya menerusi lawatan kerjanya itu, beliau mendapati anggota keselamatan di bawah ESSCom gigih melaksanakan tugas dan bersemangat.

“Kebajikan anggota ESSCom dalam pelbagai agensi perlu diambil kira untuk memastikan bahawa moral mereka sentiasa tinggi,” katanya.

Beliau berharap lawatan kerjanya dapat memberi suntikan moral kepada anggota ESSCom sebelum penyediaan peruntukan disediakan bagi menaik taraf hal-hal kebajikan anggota agensi itu.— Bernama