IKM Kuching akan perkenal dua kursus baharu

0

Diploma Teknologi Automotif Pacuan Empat Roda dan Diploma Kompetensi Elektrik bermula pada Julai

// Oleh Siti Aisyah Ramli //

KURSUS BAHARU IKM: IKM Cawangan Kuching tawar Diploma Teknologi Automotif Pacuan Empat Roda dan Diploma Kompetensi Elektrik bermula Julai.

KURSUS BAHARU IKM: IKM Cawangan Kuching tawar Diploma Teknologi Automotif Pacuan Empat Roda dan Diploma Kompetensi Elektrik bermula Julai.

KUCHING: Dua kursus kemahiran baharu akan diperkenal di Institut Kemahiran MARA (IKM) Cawangan Kuching bermula Julai akan datang.

Menurut Pengarahnya Mohd Ridhwan Abd Yazid, dua kursus baharu itu ialah Diploma Teknologi Automotif Pacuan Empat Roda (4×4) dan Diploma Kompetensi Elektrik.

Jelasnya, penambahan dua kursus baharu itu kelak menjadikan keseluruhan jumlah kursus kemahiran yang ditawarkan oleh IKM Cawangan Kuching adalah sebanyak 10 kursus.

“Bagaimanapun, buat masa sekarang, kita masih menawarkan lapan kursus yang mana kesemuanya adalah di peringkat Sijil Teknologi (ST).

“Selepas pengenalan dua kursus baharu itu pada Julai nanti, jumlah keseluruhan kursus yang ditawar adalah 10 kursus, meliputi lapan ST dan dua diploma,” katanya.

Lapan kursus peringkat ST meliputi kursus-kursus Marin, Kimpalan, Automotif, Baik Pulih Badan Kenderaan, Elektrik, Bangunan, Paip dan Perabot.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Minggu Aktiviti dan Sambutan 50 Tahun MARA Peringkat IKM Kuching Sesi Januari hingga Jun 2016 di sini, semalam.

Beliau memberitahu, cadangan menambah dua lagi kursus baharu itu berikutan lanjutan kepada kursus peringkat diploma teknikal yang kurang dilaksanakan di Sarawak.

“Pengenalan kursus di peringkat diploma ini juga membuka peluang cerah kepada pelajar kita yang menamatkan pengajian di IKM untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata, IKM Cawangan Kuching menetapkan pengambilan awal untuk dua kursus tersebut seramai minimum 20 orang dalam satu kelas.

Katanya IKM akan terus memantau daripada aspek sambutan para pelajar dalam dua kursus tersebut dan menambah jumlah kuota pengambilan pelajar pada masa akan datang sekiranya ia menunjukkan sambutan memberansangkan.

“Diploma teknologi yang ditawarkan ini terdapat dua kategori, sekiranya pelajar terbabit sudah memiliki sijil, tempoh pengajian diploma kompetensi hanya memakan masa setahun sahaja.

“Tetapi sekiranya pelajar terbabit sudah memiliki diploma, tempoh pengajian diploma kompetensi adalah dua tahun manakala tiga tahun pengajian pula untuk pelajar lepasan sekolah (SPM),” jelasnya.

Jelasnya lagi, pelajar yang menamatkan pengajian di peringkat ST di IKM akan memperoleh dua pensijilan serentak iaitu Sijil Teknologi IKM dan Sijil Kemahiran MARA (SKM) Tahap Tiga yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK).

Difahamkan sehingga semalam, IKM Cawangan Kuching mempunyai kira-kira 300 pelajar yang mengikuti program di peringkat ST.