Uptown DUBS Samarahan pertama di Sarawak punyai tapak kekal sendiri

0

KOTA SAMARAHAN: Uptown Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Samarahan menjadi ‘uptown’ yang pertama di Sarawak mempunyai tapak kekal sendiri.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan Bumiputera) Datuk Naroden Majais berkata, tapak kekal baharu itu akan mula dibina pada April nanti berdekatan dengan tapak sedia ada.

Tambahnya, projek itu dilaksanakan menerusi peruntukan yang telah disalurkan oleh kerajaan pusat sebanyak RM500,000 untuk tujuan tersebut.

“Saya difahamkan Uptown DUBS Samarahan ini bermula November tahun lalu dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarkat setempat mahupun usahawan tempatan.

“Malah, dengan pembinaan tapak kekal baharu yang dijangka akan mula dilaksanakan April nanti dapat memuatkan lebih ramai usahawan DUBS di Samarahan ini iaitu daripada 110 peniaga masa kini hingga kepada 200 peniaga apabila ia siap kelak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemimpin bersama warga Uptown DUBS Samarahan di tapak Uptown DUBS Samarahan, Desa Ilmu di sini malam kelmarin.

“Sudah tentunya penambahbaikan kawasan lebih besar dan luas, peniaga di Uptown Samarahan ini akan mempunyai tapak baharu yang lebih sesuai iaitu di hadapan Bank Islam (Samarahan) yang mana akan menjadikan DUBS Samarahan menjadi yang ‘uptown’ pertama mempunyai tapak sendiri,” tambah Naroden.

Menteri Muda Perancangan Sumber itu memberitahu tapak Uptown DUBS Samarahan baharu sudah tentunya memberi lebih keselesaan kepada peniaga mahupun pengunjung ke situ.

Menurutnya lagi, pengunjung tidak lagi perlu bimbang mencari parkir kerana tempat parkir kereta yang sekarang ini digunakan untuk tapak ‘uptown’ tidak akan digunakan selepas siapnya tapak baharu itu nanti.

Mengulas lanjut mengenai tapak baharu itu, Naroden berkata, ia kini di peringkat tender dan projek pembinaan dijangka bermula April nanti dan dijangka siap hujung Mei tahun ini.

Tambahnya lagi, tapak baharu Uptown DUBS Samarahan itu dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya awal Jun tahun ini.

“Justeru, saya berharap Uptown DUBS Samarahan ini terus maju jaya pada masa hadapan,” ujarnya.

Hadir sama Pengerusi DUBS Samarahan Ismawi Muhammad, Timbalan Pengerusi DUBS Abang Ideris Abang Jemali dan ahli DUBS Samarahan lain.