Usahawan IAT perlu bijak rebut bantuan

0

KUCHING: Usahawan Industri Asas Tani (IAT) di Sarawak digesa berusaha lebih giat dalam memajukan bidang ekonomi dipilih serta bijak mengguna pakai bantuan disediakan kerajaan.

Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Anthony Nogeh berkata ia adalah strategi dirancang  MOA dalam membantu pengusaha IAT dan bimbingan LKIM untuk menjadikan produk berdaya saing di peringkat global.

“Kita mahu memastikan produk mereka sampai ke destinasi pada masa singkat dengan kos rendah.

“Selain itu, daripada segi galakan promosi dan pemasaran memberi penekanan bahawa setiap produk  diimport perlu membuka pintu mengeksport produk kita ke negara tersebut,” katanya ketika berucap pada Majlis Karnival IAT Negeri Sarawak 2016 di sini semalam.

Jelasnya, setakat ini produk tempatan mula memasuki pasaran global di Timur Tengah dan disusuli negara Singapura, China dan Jepun selepas ini.

Beliau pada masa sama mengingatkan usahawan perlu pantas mengenal pasti dan merebut peluang meluaskan perniagaan mereka selain memperluaskan jaringan kenalan dan faham prinsip ilmu perniagaan.

Sarawak mencatatkan bilangan usahawan IAT teramai dan aktif iaitu 265 usahawan bimbingan LKIM dalam bidang pemprosesan.

Daripada jumlah tersebut 12 telah mendapat persijilan Halal dan lima usahawan memperolehi sijil MESTI.

Ini statistik terbaru kita sehingga Mac 2016, seramai 265 daripada 832 orang usahawan bimbingan LKIM yang didaftarkan dan terdiri daripada usahawan tahap 1 hingga 5 yang berpendapatan di antara RM50,000 sehingga RM15 juta setahun.

“”Saya yakin dan percaya selepas karnival IAT ini, bilangan usahawan akan bertambah dan berjaya dengan memperoleh sijil halal atau MESTI dengan bantuan jabatan atau agensi kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri,” tambahnya.

Kerajaan pusat dan negeri memperkenal pelbagai geran bagi membantu projek usahawan antaranya, Program Geran Pemadanan Change Upgrade (CUP) Product, MOA direka khas untuk usahawan IAT Bumiputera tahap 1, 2 dan 3 yang memperoleh jualan tahunan kurang daripada RM300,000 setahun.

Sebanyak RM1,085,799.84 telah diberi kepada 55 orang usahawan bimbingan IAT iaitu peruntuk oleh Unit Perancangan Ekonomi  (EPU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Daripada jumlah tersebut hanya seramai sembilan yang menerima bantuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM169,493.80, ujarnya.

Manakala Program Geran Pemadanan High Impact Product (HIP), memanfaatkan enam  usahawan bimbingan LKIM dengan bantuan sebanyak RM545,319 dan dua daripadanya dari Sarawak berjumlah RM218,170.

Menerusi Program In Kind Contribution (IKC) Agroprenuer Muda bagi sektor tanaman, perikanan, akuakultur atau ternakan dan industri asas tani pelbagai iaitu seramai 10 daripada 25 orang mendapat kelulusan pembiayaan geran IKC dengan jumlah peruntukan sebanyak RM150,000.

Justeru, MOA dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) membawa Karnival IAT 2016 itu yang dimulakan di Sarawak bakal menyusul ke Sabah pada Mei ini seterusnya ke Semenanjung Malaysia.

Beliau turut melawat ruangan pempamer seramai 27 orang itu turut memapar 50 jenis barangan IAT yang diusaha usahawan tempatan dan Semenanjung Malaysia.

Turut hadir sama semalam adalah Pengarah Bahagian IAT Kusuadi Sallih, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud.