Wanita PBB diingat tidak menabur janji: Nancy

0
HIDUP PBB: Nancy (tengah) ditemani Rubiah dan jentera Pergerakan Wanita PBB melaungkan kata-kata semangat.

HIDUP PBB: Nancy (tengah) ditemani Rubiah dan jentera Pergerakan Wanita PBB melaungkan kata-kata semangat.

Tugas ahli parti adalah sebagai ejen penghubung rakyat dengan pemimpin dan kerajaan

Oleh Rusnan Mustafa //

KOTA SAMARAHAN: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diingatkan agar tidak menabur janji terutama semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) kelak.

Perkara itu ditegaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri selaku setiausaha Pergerakan Wanita PBB dan Barisan Nasional (BN) Sarawak pada Majlis Perasmian Seminar Pemantapan Isu Semasa Pergerakan Wanita PBB di Dewan Suarah Samarahan di sini, semalam.

Menurutnya tugas ahli parti adalah sebagai ejen penghubung antara rakyat dengan pemimpin dan kerajaan, bukan sebaliknya.

“Jangan berjanji kerana ia bukan tugas kamu untuk berjanji, tugas kamu adalah untuk menjadi penghubung jalinan di antara rakyat dengan pemimpin dan juga kerajaan.

“Saya sendiri tidak akan berjanji sekiranya sesuatu itu di luar bidang kuasa saya, cuma saya dapat memberi perhatian mengenai perkara itu untuk dirujuk kepada pihak yang berkaitan,” katanya.

Nancy memberitahu, ahli parti khususnya Pergerakan Wanita harus menjadi perantara iaitu mendengar isu atau kemahuan penduduk di kawasan masing-masing dan membawa ia kepada pihak berkaitan untuk diambil tindakan dan diselesaikan.

Pada masa sama, beliau meminta setiap ahli PBB dan parti komponen BN sentiasa bersatu hati bagi memberi kemenangan besar kepada BN pada PRN11 kelak.

“Apa yang memberi kesukaran adalah perselisihan faham sesama sendiri bukannya dengan pembangkang, jadi kekalkan kesatuan dan semangat bersatu ini,” tegasnya.

Selain itu, beliau turut menyarankan agar Pergerakan Wanita PBB bijak menangani isu yang dibangkitkan di kawasan masing-masing.

“Walaupun mereka menggunakan nada tinggi (marah) kamu harus bersabar dan dengar apa yang mereka perlukan kerana apa yang mereka katakan itu adalah kemahuan mereka yang perlu diberi perhatian,” tambahnya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang dalam ucapannya menyeru jentera Pergerakan Wanita PBB sentiasa bersedia menghadapi PRN11 pada bila-bila masa sahaja.

“Kita mahu Pergerakan Wanita memberi rekod cemerlang pada Pilihan Raya Negeri nanti,” ujarnya.