Kemenangan BN bergantung kepada sokongan padu rakyat

0

KOTA SAMARAHAN: Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN 11) akan datang bergantung kepada sokongan padu rakyat di negeri ini.

Menurut Ketua Pemuda BN Negeri Datuk Seri Fadillah Yusof, menerusi mandat diberi rakyat, BN pasti akan kekal menjadi pemerintah bagi membawa lebih banyak pembangunan negeri secara berterusan khusus kepada rakyat.

“Kita minta rakyat negeri ini memberi kemenangan besar kepada BN selain memastikan BN terus kekal memerintah bagi menjamin masa depan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Armada Misi Kemenangan Pemuda BN Sarawak 2016 di Halaman Samarahan, di sini semalam.

Rombongan yang singgah di Kota Samarahan itu turut disambut mesra oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah Wang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang Datuk Seri Mohd Ali Mahmud, ADUN Sadong Jaya Aidel Lariwoo dan Timbalan Ketua PBB Cawangan Muara Tuang Hamzah Brahim.

Beliau juga Menteri Kerja Raya berkata, kemenangan BN dengan majoriti besar di setiap kawasan tidak mustahil untuk dicapai sekiranya rakyat bersatu padu menyokong kerajaan yang memerintah.

“Kerajaan telah memperuntukkan peruntukan besar untuk melaksanakan pelbagai pembangunan bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.

“Justeru, kita mesti bersatu hati dan berjuang bagi menjamin kemenangan BN demi masa depan kita,” jelasnya.

Mengenai program Armada diadakan bermula di Kuching sehingga Lawas yang berakhir 6 April ini, beliau memberitahu, menerusi program itu Pemuda BN akan bertemu dengan masyaraperingkat akar umbi.

Katanya, dengan misi kemenangan untuk BN, Pemuda akan memberi penerangan kepada masyarakat peringkat akar umbi untuk memastikan masyarakat turun mengundi pada PRN kali ini.