10 calon SUPP diumum

0

Pengumuman dibuat berperingkat-peringkat, semua selesai seminggu sebelum penamaan calon: KM

BERSEMANGAT: Adenan (lima kanan) bergambar bersama lapan daripada 10 calon SUPP yang diumumkan semalam.

BERSEMANGAT: Adenan (lima kanan) bergambar bersama lapan daripada 10 calon SUPP yang diumumkan semalam.

// Oleh Patricia Gari //

KUCHING:Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem semalam mengumumkan 10 calon Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-11 nanti.

Mereka terdiri daripada Senator Datuk Dr Sim Kui Hian yang juga presiden parti di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kawah, Peter Pau (Padungan), Milton Foo (Pending), Sih Hua Tong (Batu Lintang), Wilfred Yap (Kota Sentosa), Lo Khere Chiang (Batu Kitang), Datuk Francis Harden (Simanggang), Chieng Buong Toon (Bukit Assek), Datuk Sebastian Ting (Piasau) dan Datuk Lee Kim Shin (Senadin).

“Saya mahu mengumumkan senarai calon terutamanya dari SUPP yang akan bertanding menggunakan simbol dacing (Barisan Nasional).

“Saya dari semasa ke semasa akan mengumumkan calon-calon lain tetapi semuanya akan dilakukan seminggu sebelum hari penamaan calon,” ujarnya pada sidang media di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Adenan yang juga Pengerusi BN negeri berkata calon bagi kerusi DUN Repok akan beliau umumkan dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Repok, esok (Jumaat).

“Saya mengumumkan calon mengikut parti. Tempoh hari PRS (Parti Rakyat Sarawak), hari ini (semalam) SUPP tetapi belum lengkap dan sudah tentu selepas ini Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),” jelasnya.

Ditanya sama ada baki kerusi SUPP yang tidak diumumkan calonnya semalam akan diletakkan ‘calon langsung,’ Adenan berkata: “Anda (media) boleh membuat apa sahaja kesimpulan sendiri daripada apa yang saya umumkan tadi tetapi tunggu pengumuman rasmi daripada saya.”

Beliau dalam pada itu percaya kata sepakat antara SUPP dan Parti Rakyat Bersatu (UPP) mengenai pembahagian baki kerusi yang belum diumumk akan dicapai dalam tempoh seminggu sebelum hari penamaan calon.

SUPP diperuntukkan 20 kerusi DUN termasuk satu kerusi baharu iaitu Batu Kitang. Manakala 19 lagi kerusi sedia ada ialah Opar, Mambong, Padungan, Pending, Kota Sentosa, Batu Lintang, Batu Kawa, Simanggang, Engkilili, Repok, Meradong, Bukit Assek, Dudong, Bawang Assan, Pelawan, Tanjong Batu, Piasau, Pujut dan Senadin.

Mengenai PBB, beliau berkata rata-rata calon sudah diumum dan bakinya akan diumum dalam tempoh terdekat.

Adenan turut memberitahu, beliau mengumum calon BN secara berperingkat-peringkat berikutan wujud niat untuk melobi menggunakan simbol BN kerana menurutnya, ia (simbol) yang sangat popular.

“Saya tidak ada mendengar orang berbalah untuk menggunakan simbol lain, termasuk pembangkang, kerana yang berbalah itu tahu wujud peluang cerah untuk menang dengan menggunakan simbol BN.

“Oleh sebab itu, ada yang sanggup melobi bagi tujuan itu, Saya tidak dengar orang berkelahi kerana merebut mahu menggunakan simbol parti pembangkang,” ujarnya.

Sementara itu, lapan daripada 10 calon diumumkan hadir pada sidang media semalam iaitu Dr Sim, Peter Pau, Lo Khere Chiang, Milton Foo, Sih Hua Tong, Wilfred Yap, Datuk Sebastian Ting dan Datuk Lee Kim Shin.