Kanak-kanak perlu pendengaran jelas

0

KOTA KINABALU: Adalah penting untuk kanak-kanak pada usia kecil mempunyai akses penuh kepada pertuturan bahasa.

Audiologist Jesselton Medical Centre (JMC) Gavin Coad berkata, pendengaran serta pembelajaran pertuturan bahasa adalah saling berkaitan dan dalam tiga tahun pertama kehidupan kanak-kanak itu adalah sangat penting bagi perkembangan otak.

“Sekiranya kanak-kanak itu hilang pendengaran dan ibu bapa tidak sedar akan perkara itu, maka ia akan membantutkan perkembangan pembelajaran pertuturan bahasa kanak-kanak itu sekali gus akan mengalami satu keadaan yang susah di sekolah.

“Kajian menunjukkan kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran dan mendapat rawatan awal mempunyai kemahiran pertuturan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu forum awam yang diadakan di JMC kelmarin.

Beliau berkata, pengesanan awal masalah itu boleh membantu kanak-kanak menguasai pertuturan dalam umur seawal mungkin.

Katanya, World Health Organisation (WHO) juga memberikan cadangan agar setiap bayi diperlukan untuk membuat pemeriksaan saringan sebelum berumur sebulan, pemeriksaan diagnosis pada umur tiga bulan dan pemeriksaan susulan pada umur enam bulan.

“Pemeriksaan ke atas bayi itu boleh dilakukan dengan beberapa cara yang mana hasil pemeriksaan itu akan menunjukkan keputusan yang baik atau sebaliknya.

“Sekiranya kanak-kanak itu didapati mempunyai masalah pendengaran, mereka perlu dipakaikan alat bantu pendengaran secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, Pathologist Pertuturan Bahasa JMC Pamela Thomas Joseph berkata, antara tanda-tanda kanak-kanak mengalami masalah pendengaran ialah tidak memberi maklum balas ketika namanya dipanggil, kepala anak itu pernah terlanggar dinding atau lantai dan kanak-kanak yang gemar tidur dengan telinga menghadap lantai yang sejuk.

Turut hadir pada forum itu ialah Perunding Bedah Telinga, Hidung dan Leher Dr Lum Chee Lun.