UPP Samarahan lancar maskot burung helang

0
SIMBOLIK ‘OOOH HA’: Leong (di sebalah kanan maskot) bersama ahli UPP Samarahan memperkenalkan maskot helang.

SIMBOLIK ‘OOOH HA’: Leong (di sebalah kanan maskot) bersama ahli UPP Samarahan memperkenalkan maskot helang.

KOTA SAMARAHAN: Parti Rakyat Bersatu (UPP) Samarahan melancarkan maskot seekor burung helang dengan enam ciri istimewa yang membawa maksud tersendiri terhadap kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Maskot itu hasil ilham Pengerusi UPP Samarahan sendiri, Leong Wei Ping yang meminati burung helang sejak kecil lagi.

“Ia memakan masa tiga bulan untuk saya menyiapkan maskot UPP Samarahan ini yang mana antara ciri penting adalah di badannya tertera perkataan ‘oooh ha’ yang merupakan kata-kata semangat yang sering Yang Amat Berhormat Ketua Menteri laungkan,” kata Leong.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Maskot UPP Samarahan di pekarangan tempat letak kereta berhadapan pejabat UPP Samarahan, Taman Riveria di sini, semalam.

Leong berkata helang dipilih sebagai maskot UPP Samarahan kerana ia mempunyai ciri istimewa yang tidak ada pada burung lain.

“Sayap helang membolehkan ia terbang lebih tinggi daripada burung lain dan ini membawa maksud kepimpinan di bawah Ketua Menteri akan membawa Sarawak ke aras pencapaian yang lebih tinggi lagi.

“Manakala paruhnya pula melambangkan setiap perkataan (janji) yang Ketua Menteri tuturkan pasti ditunaikan dan helang juga mempunyai kaki yang kuat yang membawa maksud kepimpinan yang kukuh di bawah Adenan,” jelasnya.

Selain itu, kuku helang yang tajam pula, menurutnya melambangkan ketegasan Adenan dalam memastikan kerajaan negeri telus dan bebas daripada amalan rasuah.

“Dan ciri terakhir adalah mata helang yang dapat melihat dari jarak yang jauh pula membawa maksud Adenan seorang yang mempunyai visi yang jauh untuk membawa pembangunan yang seimbang kepada setiap lapisan masyarakat di Sarawak,” ujarnya.