Kebakaran angkara pemburu tamak?

0

Pemburu dikatakan membakar hutan supaya binatang mudah diburu

LEGA: Para anggota bomba gembira kerana hujan membantu meringankan tugas mereka memadam kebakaran.

LEGA: Para anggota bomba gembira kerana hujan membantu meringankan tugas mereka memadam kebakaran.

BEAUFORT: Kebakaran hutan paya gambut yang telah memusnahkan 70 peratus Hutan Simpan Binsulok disyaki angkara pemburu yang tamak.

Pegawai Daerah Mohd Shaid Othman mengakui menerima maklumat berkenaan namun menyerahkannya kepada pihak polis untuk membuat siasatan.

“Kita menerima maklumat bahawa salah satu dalang kebakaran Hutan Simpan Binsulok ialah perbuatan pemburu yang tamak.

“Mereka membakar hutan supaya binatang terutama payau (rusa) diburu dengan mudah.

“Bagaimanapun, kita telah menyalurkan maklumat itu dan menyerahkannya kepada pihak polis untuk menyiasat,” katanya.

Menurut Shaid, insiden itu menyebabkan kerajaan kerugian lebih RM5 juta apabila kebakaran menular ke kawasan pertanian MESEJ Binsulok yang dibangunkan Lembaga Kemajuan Tanah Berhad (SLDB) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Tambahnya, kebakaran seluas 50 hektar itu memungkinkan penambahan jumlah senarai e-Kasih kerana para pekebun kecil telah hilang punca pendapatan.

“Ketamakan mereka (pemburu) telah meranapkan impian serta punca pendapatan para pekebun kecil yang menanam kelapa sawit dan nanas dalam lima hingga 10 ekar.

“Bagi pekebun kecil sawit, mereka terpaksa menunggu empat hingga lima tahun untuk mendapat hasil tanaman.

“Keadaan ini secara langsung menyebabkan mereka kembali memasuki senarai bantuan e-Kasih di daerah Beaufort,” jelasnya.

Dalam pada itu, Shaid merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang bertungkus lumus mengawal kebakaran.

Beliau yang ditemui media di sini pagi kelmarin berharap hujan akan turun untuk meringankan tugas para anggota bomba yang terlibat dalam operasi di kawasan terlibat.