Nurhanim Hanna tidak gentar berdepan Fazruddin di Tupong

0

KUCHING: Nurhanim Hanna Mokhsen yang akan bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak gentar untuk berhadapan dengan muka baharu daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Fazruddin Abdul Rahman.

Menurut beliau yang merupakan calon wanita pertama di kerusi itu, meskipun peluang PKR untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong daripada parti tulang belakang Barisan Nasional (BN) Sarawak adalah 50-50 namun ‘tidak mustahil’ untuk menang.

“Berdasarkan data yang kami perolehi, kerusi Tupong merupakan satu kerusi kuat PBB… ia sukar untuk dimenangi tetapi ia juga tidak mustahil,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Nurhanim berkata kekuatan pasukan PKR di Tupong adalah pihaknya telah lama turun padang dan penduduk sekitar mengenali mereka.

“Kami selalu berada di lapangan berjumpa rakyat, bukan pada musim pilihan raya sahaja tetapi PKR sentiasa menyantuni rakyat tanpa mengira masa dan waktu.

“Rakyat mudah berbicara mengenai isu setempat dan kami juga telah banyak membantu menyelesaikan masalah penduduk Tupong,” dakwanya.

Beliau menjelaskan, setiap calon PKR yang bertanding harus mengikuti Indeks Prestasi Utama (KPI) ditetapkan parti dan ia amat membantu dari segi persiapan pilihan raya.

Beliau turut percaya kehadirannya sebagai calon wanita pertama bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu adalah salah satu kekuatannya.

“Ini sedikit sebanyak akan menarik pengundi wanita untuk memberi sokongan,” katanya yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat Keadilan dan bendahari PKR Cabang Petra Jaya.

Nurhanim, 45, yang merupakan lulusan Univerisiti South Australia (Hospitaliti dan Pelancongan) kini menguruskan perniagaan keluarga.

Fazruddin yang merupakan setiausaha politik Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem sebagai calon Tupong bagi menggantikan Datuk Daud Abdul Rahman yang mahu bersara daripada politik.

Menteri Muda (Hal Ehwal Islam) itu telah menyandang kerusi DUN Tupong selama lima penggal iaitu sejak PRN 1991.

Pada PRN 2011, Daud menang dengan majoriti 4,551 apabila menewaskan Baharuddin Shah Mokhsen daripada PKR dalam pertandingan satu lawan satu.

Daud memperolehi 8,304 undi berbanding Baharuddin 3,753 di kawasan yang mempunyai pengundi seramai 17,796 orang itu.