Hak pilih parti

0

Ahli UPP menang PRN sebagai calon langsung BN berhak sertai parti komponen atau parti setia kepada BN: Lo

CALON LANGSUNG: Lo (tiga kiri) pada sidang media selepas pengumuman calon langsung BN dari UPP memberitahu enam calon dari parti telah menyerah surat peletakan jawatan kepadanya, semalam.

CALON LANGSUNG: Lo (tiga kiri) pada sidang media selepas pengumuman calon langsung BN dari UPP memberitahu enam calon dari parti telah menyerah surat peletakan jawatan kepadanya, semalam.

// Oleh Jessica Jawing //

KUCHING: Ahli Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang bertanding sebagai calon langsung BN dan memenangi kerusi ditandingi boleh memilih mana-mana parti komponen BN atau parti yang setia kepada BN selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Setiausaha Agung UPP George Lo berkata, ia adalah hak mereka untuk menentukan keputusan berkenaan bagi memilih parti yang mahu disertai.

“Seperti yang dimaklumkan Ketua Menteri, calon langsung BN ini berhak memutuskan parti mana yang mereka mahu sertai selepas pilihan raya.

“Malahan, beliau (Adenan) menyatakan sama ada ia adalah parti komponen BN atau parti yang setia kepada BN,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon langsung BN dari UPP oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem di Wisma Bapa Malaysia di sini, semalam.

Lo turut mengumumkan enam pemimpin Parti Rakyat Bersatu (UPP) yang bertanding sebagai calon langsung BN diumumkan Ketua Menteri itu telah menyerahkan surat peletakan jawatan mereka dalam parti kepada beliau, semalam.

Mereka ialah Dato Sri Wong Soon Koh yang akan bertanding sebagai calon langsung BN di DUN Bawang Assan, Timbalan Presiden Datuk Dr Jerip Susil (Mambong), Ranum Mina (Opar), Dr Johnical Rayong Ngipa (Engkilili), Datuk Tiong Thai King (Dudong) dan Datuk Hii King Chiong (Pujut).

“Mengikut kehendak dan undang-undang Perlembagaan BN, calon langsung BN perlu meletak jawatan daripada UPP dan mereka telah menyerahkan surat peletakan jawatan sewajarnya.

“Namun peletakan jawatan berkenaan bukan menggambarkan bahawa mereka tidak setia kepada parti, tetapi jiwa dan semangat mereka masih bersama UPP. Maka itu, saya menggesa kepada semua ahli terus menyokong enam calon ini,” katanya.

UPP, kata Lo, amat berterima kasih kepada Ketua Menteri kerana mencalonkan enam pemimpin berkenaan yang bertanding atas calon langsung BN dan menyeru semua ahli di setiap cawangan memberi sokongan penuh kepada enam calon terbabit sebagai ‘Pasukan Adenan.’

“Buat masa ini sebaik mereka berundur untuk sementara, maka pemimpin yang masih ada dalam parti akan mengambil alih secara kolektif.

“Saya perlu menerima surat peletakan jawatan ini kerana kami telah berbincang bersama Ketua Menteri dan meneliti Perlembagaan BN di mana kami dimaklumkan untuk menjadi calon langsung, mereka berkaitan harus tidak ada parti.

“Maka, peletakan (jawatan) ini bukan berkaitan dengan pilihan, tetapi berkaitan dengan pematuhan kepada Perlembagaan BN. Kami akan menjelaskan kepada semua ahli tentang kehendak yang harus dipatuhi ini,” tegasnya.

Lo berkata, tindakan pemimpin yang bertanding itu tidak bermakna mereka membiarkan parti dan tidak setia, justeru ahli-ahli parti dari semua cawangan disaran berdiri teguh di belakang calon berkenaan yang disifatkannya masih sebahagian besar dalam parti.

Pada masa sama, katanya, UPP tidak akan dibubar dan masih menjalankan peranan mereka semasa pilihan raya atau selepas pilihan raya dengan memberi sokongan kepada calon dari UPP.

UPP, kata Lo, juga berharap dua kerusi iaitu Meradong dan Pelawan akan diberikan kepada parti kerana mereka memilih calon berpotensi dan berpeluang lebih baik memenangi kerusi majoriti Cina itu.

“Di Meradong, kami mengemukakan nama James Wong sementara di Pelawan Datuk Janet Lau, dan saya merasakan mereka terutama Lau adalah calon berpotensi dan lebih baik peluang kemenangannya berbanding yang lain yang mungkin tidak ada peluang langsung,” katanya sambil memberitahu di Pelawan 90 peratus pengundinya adalah Cina.

Lo memberitahu, UPP juga berhasrat untuk menyertai BN sekiranya keputusan pilihan raya menunjukkan prestasi cemerlang dan ia bergantung kepada keputusan kemenangan nanti.