Darul Hana usaha bangunkan masyarakat Islam

0

Oleh Rusnan Mustafa//

PERASMIAN: Tun Taib memukul beduk sebagai simbolik perasmian Masjid Darul Hana.

PERASMIAN: Tun Taib memukul beduk sebagai simbolik perasmian Masjid Darul Hana.

KUCHING: Projek pembangunan Darul Hana merupakan simbol usaha kerajaan membangunkan satu kawasan perkampungan moden baharu untuk masyarakat Islam di bandar raya ini.

Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, menerusi pembangunan itu masyarakat Islam di bandar raya ini yang terlibat akan mencapai satu perubahan baharu mengikut kemajuan dikecapi bandar raya Kuching.

“Pada hari ini kita melihat kawasan perkampungan di bandar diubah supaya ia bertambah besar menempatkan semula rakyat terlibat dalam satu kawasan baharu dekat kawasan lama. Selepas itu dapat mencorak kehidupan maju setanding keadaan persekitaran moden,” katanya.

Beliau berkata ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Darul Hana, Petra Jaya yang turut dihadiri Toh Puan Sri Ragad Kurdi Taib di sini semalam.

Katanya, inilah yang dapat rakyat saksikan hasil dasar kerajaan memperjuang nasib rakyat selepas kemerdekaan kerana kerana melihat betapa pentingnya pembangunan masyarakat orang Islam di sini.

Pada masa sama, beliau menyarankan agar masyarakat Islam di kawasan itu memperluas fungsi masjid bukan sahaja sebagai rumah ibadah tetapi juga menjadi pusat ilmuan Islam, musyawarah serta penyatuan ummah.

“Seperti masjid di Madinah yang menjadi pusat tumpuan orang Islam dan menjadi pusat pertemuan untuk berunding mengenai perkara yang menyentuh masa hadapan masyarakat.

“Jangan lupa kita mempunyai satu tanggungjawab memartabatkan agama Islam dan menyebarkan fahaman Islam ke seluruh masyarakat kita terutamanya di kalangan anak-anak muda yang akan menyambung perjuangan kita ini,” tegasnya.

Mengenai projek pembangunan Darul Hana itu, Tun Taib berkata, perpindahan penduduk dari 12 kampung di sepanjang tebingan Sungai Sarawak dari Boyan hingga Bintawa Hilir itu memerlukan kerjasama yang utuh agar ia dapat dilaksanakan dengan lancar.

Katanya lagi, perkampungan moden baharu itu juga akan mengekalkan warisan kampung lama seperti nama kampung dijadikan nama jalan utama di kawasan baharu tersebut namun ia terserah kepada pemimpin kampung untuk membuat yang terbaik untuk kawasan perkampungan baharu itu nanti.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata, projek pembangunan perkampungan moden Darul Hana itu lebih teratur dan tersusun tanpa meminggirkan warisan lama.

“Kita berharap dengan adanya projek ini kehidupan kita akan lebih mesra, lebih senang sihat, lebih tersusun dan teratur dan mengekalkan warisan kampung yang ada,” katanya.

Selain itu, beliau memberitahu pemindahan 12 kampung di kawasan tersebut akan membolehkan kerajaan membangunkan tebingan utara Sungai Sarawak.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri akan terus menyokong projek pembangunan Darul Hana itu yang melibatkan tanah seluas 722 ekar membabitkan 16,986 penduduk.

Masjid Darul Hana di Jalan Tuan Haji Abang Haji Muhammad Salahuddin itu siap 11 April lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM28 juta di tapak seluas 14 ekar memuatkan 3,000 jemaah.

Hadir sama Menteri Perumahan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Datin Patinggi Dato Jamilah Anu, Menteri Muda Perumahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Penyandang Kerusi Dewan Undangan Negeri Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi dan tetamu kehormat lain.