Dua kumpulan kelahi konon nak bantu gadis

0
RAWAT: Anggota paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada kedua-dua wanita berkenaan.

RAWAT: Anggota paramedik memberikan rawatan kecemasan kepada kedua-dua wanita berkenaan.

KUCHING: Niat baik untuk membantu dua gadis mengalami kemalangan kecil mencetuskan pertengkaran antara dua kumpulan di sebuah pusat komersil baharu di Jalan Pending awal semalam.

Insiden dikatakan berlaku selepas tengah malam apabila kedua-dua wanita dalam lingkungan usia 20-an itu mengalami kecederaan ringan selepas motosikal mereka naiki terbabas di hadapan pusat komersil berkenaan.

Melihat kejadian tersebut, dua kumpulan lelaki yang melepak di lokasi berasingan di pusat komersil tersebut kemudian membantu kedua-dua wanita, dan seorang daripada mereka kemudian menghubungi ambulans.

“Bagaimananapun, tindakannya dicemuh seorang pemuda kumpulan berlainan yang mendakwa hanya mahu berlagak di depan kedua-dua gadis terbabit.

“Ekoran itu, berlaku pertikaman lidah seterusnya membawa kepada aksi lasak dan tolak-menolak sebelum kedua-dua kumpulan bertumbuk,” kata sumber.

Pengawal keselamatan bertugas di pusat komersil itu sedaya upaya untuk meredakan keadaan dan turut menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Ketibaan beberapa anggota polis dari Unit Kereta Peronda Polis (MPV) menamatkan pergaduhan serta-merta dan kedua-dua kumpulan terbabit lari dengan motosikal masing-masing meninggalkan kawasan kejadian.

Kakitangan perubatan tiba sejurus kemudian dan merawat kedua-dua gadis yang cedera sebelum dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk rawatan lanjut.