Warta Beting Patinggi Ali sebagai Taman Laut Negara

0
BERPOTENSI: Pulau daripada batu karang yang terbentuk di Beting Patinggi Ali.

BERPOTENSI: Pulau daripada batu karang yang terbentuk di Beting Patinggi Ali.

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mahu mengusulkan kepada kerajaan negeri dan pusat agar kawasan terumbu karang Beting Patinggi Ali diwarta sebagai taman laut negara.

Ketua Maritim Wilayah Sarawak Laksamana Pertama Ismaili Bujang Pit berkata apabila kawasan terumbu itu diwartakan sebagai taman negara marin atau taman laut yang terlindung sepenuhnya kelak, maka keadaannya akan lebih terkawal dan selamat.

“Selain itu kita juga boleh membawa pelancong datang ke sini untuk melakukan aktiviti sihat seperti menyelam, memancing dan snorkeling dalam keadaan terkawal dan selamat,” katanya.

CANTIK: Antara batu karang yang terdapat di kawasan terumbu Beting Patinggi Ali.

CANTIK: Antara batu karang yang terdapat di kawasan terumbu Beting Patinggi Ali.

Beting Patinggi Ali menempatkan gugusan batu-batu karang cantik dan menjadi tumpuan dan pembiakan hidupan marin di perairan Miri, perlu dijaga sebaiknya dan dilindungi sepenuhnya daripada pihak tidak bertanggungjawab bagi memastikan terumbu karang di sepanjang beting tersebut kekal terpelihara dan hidup.

Bercakap kepada pemberita semasa program lawatan bersama media ke Beting Patinggi Ali di sini, Sabtu lalu, Ismaili yakin dengan lokasinya yang terletak hanya 84 batu nautika dari bandar raya Miri, Beting Patinggi Ali jika diwartakan kelak, berpotensi menjadi salah satu produk pelancongan yang menarik.

Sepanjang program selama sehari itu, media diperkenalkan potensi pelancongan besar di kawasan beting tersebut yang berupaya menjadi lokasi menyelam, snorkeling dan memancing yang selamat dengan para wartawan yang turut serta diberi peluang melakukan aktiviti menyelam dan snorkeling di sekitar kawasan beting tersebut.

Dengan bantuan APMM, pihak media juga berjaya menjejakkan kaki ke pulau batu karang Beting Hempasan Banting, yang paling terkenal dalam gugusan Beting Patinggi Ali.

Sehubungan itu, APMM sebagai langkah awal katanya, mulai menganjurkan Pertandingan Memancing Laut Dalam Miri yang dijayakan dengan kerjasama Persatuan Pemancing Miri (KPM), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Kementerian Pelancongan Malaysia dan Majlis Bandaraya Miri (MBM).

“Ia satu kawasan selamat dan anda boleh saksikan sendiri hari ini (kelmarin), anda boleh menyelam dan melakukan snorkeling dengan ceria, malah keadaan laut juga tenang dan aman tanpa ada sebarang pencerobohan oleh kapal asing.

“Anda juga boleh lihat sendiri kapal APMM (dua buah) ditempatkan di sini untuk melakukan tinjauan keselamatan bagi memastikan tiada sebarang aktiviti pencerobohan di kawasan ini (Beting Patinggi Ali) yang berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) negara,” jelasnya.

“Sehubungan itu, APMM merancang melakukan aktiviti seperti ini dan kita ucapkan terima kasih kepada STB dan KPM kerana membantu dalam menjayakan pertandingan memancing laut dalam ini buat julung kalinya bersama APMM dan dengan sokongan padu, mahu mempopular kawasan beting ini,” katanya.

Seramai 10 orang terdiri daripada wartawan media cetak dan elektronik serta penyelam, mengambil bahagian dalam lawatan yang dianjurkan khas oleh APMM itu, dalam usaha memperkenal dan mempopularkan Beting Patinggi Ali.

Manakala 52 peserta pertandingan memancing pula, kembali semula ke daratan pada pagi semalam, selepas tiga hari berada di laut dalam untuk memancing ikan bersaiz besar bagi memenangi kejuaraan tersebut.