Penduduk Kota Samarahan sambut baik Program Sejiwa Senada

0

// Oleh Rusnan Mustafa //

APA KHABAR ORANG SAMARAHAN?: Zahid dan Adenan menghiburkan warga Samarahan pada Program Sejiwa Senada.

APA KHABAR ORANG SAMARAHAN?: Zahid dan Adenan menghiburkan warga Samarahan pada Program Sejiwa Senada.

PENDUDUK di Kota Samarahan menyambut baik penganjuran Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan yang diadakan selama tiga hari hujung minggu lalu.

Malah, sokongan itu dapat disaksikan apabila ribuan penduduk Samarahan membanjiri pekarangan dan gerai pempamer yang dibuka pada program itu.

Temenggung Chek Bujang berkata, Program Sejiwa Senada sememangnya program yang amat dinantikan oleh warga Samarahan.

“Kita penduduk di Samarahan amat menyambut baik Program Sejiwa Senada ini kerana kita sememangnya sudah lama menantikan penganjuran program ini.

“Selain itu, Program Sejiwa Senada ini dapat merapatkan perpaduan antara rakyat dengan kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem termasuk agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini,” katanya ketika ditemui di Kota Samarahan, Sabtu lepas.

Sehubungan itu, Chek menggesa golongan belia merebut peluang yang disediakan pada program tersebut bagi  mengetahui sendiri pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan serta peluang pendidikan yang disediakan.

“Banyak perkara yang diisi dalam program ini untuk rakyat terutamanya golongan belia kita, jadi rebutlah peluang ini,” tambahnya.

Sementara itu, Temenggung Anthony Nipak berkata, Program Sejiwa Senada merupakan platform terbaik untuk penduduk Samarahan mendekati pemimpin mereka serta agensi dan jabatan kerajaan.

“Program ini adalah baik sekali kerana setiap lapisan masyarakat yang datang dapat melihat sendiri usaha yang dibawa oleh pemimpin dan apa yang penting kemajuan dan pembangunan yang dibawa di Kota Samarahan ini.

“Semenjak kita merdeka, kita menyaksikan Kota Samarahan telah maju dengan pesatnya dan kini menjadi pusat pendidikan dan kemajuan serta pembangunan ini datangnya daripada kerajaan Barisan Nasional menerusi wakil rakyat yang ada di sini,” tegasnya.

Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang turut dihadiri oleh Adenan.

DAPAT SAMBUTAN: Para pemimpin dan orang ramai di sekitar Kota Samarahan memenuhi ruang untuk Program Sejiwa Senada.

DAPAT SAMBUTAN: Para pemimpin dan orang ramai di sekitar Kota Samarahan memenuhi ruang untuk Program Sejiwa Senada.