Trend kes culik berubah: Polis usahakan mekanisme terbaik

0
LAWAT: Abd Rashid diiringi Fadil melawat Lambos Simanungkalit, kru Henry yang kini menerima rawatan di Wad Rawatan Rapi dan Jantung, Hospital Tawau.

LAWAT: Abd Rashid diiringi Fadil melawat Lambos Simanungkalit, kru Henry yang kini menerima rawatan di Wad Rawatan Rapi dan Jantung, Hospital Tawau.

TAWAU: Peningkatan kes culik di sekitar perairan antarabangsa kini menjadi tumpuan polis mengusahakan mekanisme terbaik menghadapi perubahan trend jenayah rentas sempadan.

Semenjak 26 Mac lepas, sudah tiga kes serangan terhadap kru bot tunda di sempadan perairan antarabangsa Sabah-Filipina dilaporkan berlaku melibatkan 18 mangsa culik.

Berdasarkan rekod lalu, ketiga-tiga kes culik empat rakyat Malaysia dan 14 rakyat Indonesia itu disyaki didalangi oleh kumpulan Abu Sayyaf dari selatan Filipina.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Abd Rashid Harun berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dua hala dengan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

“Kita akan ke Lahad Datu untuk menemui Komander ESSCom (Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid),” katanya semasa ditemui media di Hospital Tawau, di sini kelmarin.

Abd Rashid berkata polis mahu melihat dan mendengar terlebih dahulu penerangan daripada ESSCom berhubung perancangan yang sudah, sedang dan akan dilaksanakan.

Katanya, penilaian turut mengambil kira kes terbaharu melibatkan empat mangsa culik kru Henry di perairan antarabangsa berhampiran Pulau Mataking, Semporna.

“Pandangan ESSCom juga akan diambil kira mengenai langkah-langkah yang boleh dibuat berikutan perubahan trend jenayah rentas sempadan (semenjak bulan lepas),” katanya.

Menurutnya, berdasarkan kes culik berkenaan juga, polis percaya wujud kecenderungan kumpulan penculik terhadap bot-bot yang bergerak perlahan seperti bot tunda Henry.

Beliau berkata, kumpulan penculik yang menaiki bot laju disyaki lebih cenderung terhadap bot tunda yang menarik tongkang kerana mudah dipintas ataupun dinaiki.

“Pergerakan bot tunda Henry hanyalah 5.3 knot dan sangat perlahan menyebabkan bot itu mudah dihampiri (penculik) lebih-lebih lagi bentuk fizikalnya yang rendah,” katanya.

Kes culik empat kru Henry itu adalah insiden ketiga dalam tempoh tiga minggu tahun ini selepas insiden culik 10 kru Brahma 12 (26 Mac) dan empat kru Massive 6 (1 April).