Permohonan penduduk penempatan Sungai Asap usahakan tanah mereka dipertimbang

0

SUNGAI ASAP: Kerajaan negeri mempertimbang permohonan penduduk penempatan semula Sungai Asap, Belaga yang dipindahkan dari Batang Baloi (kawasan projek Empangan Bakun sekarang) menjalankan kegiatan ekonomi dan pertanian di tanah milik mereka yang tidak ditenggelami empangan tersebut.

Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing berkata dengan syarat aktiviti pertanian atau sebarang bentuk kegiatan ekonomi dijalankan di atas tanah milik mereka hendaklah dijarakkan sekurang-kurangnya satu kilometer dari tebingan empangan itu.

“Ini bagi memastikan tebingan empangan itu berada dalam keadaan bersih tanpa berlaku sebarang pencemaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Jeti Awam Terapung dan Kawasan Menunggu di Pangkalan Empangan Bakun di sini, semalam.

Jeti awam yang dibina oleh Sarawak Hidro Sdn Bhd itu merupakan antara projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu kepada penduduk setempat dengan kos RM800,000.

Katanya dengan keistimewaan diberikan itu secara tidak langsung membuktikan bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat suara dan kehendak rakyat terutama penduduk di Sungai Asap yang banyak berkorban membiarkan tanah dan tempat tinggal asal mereka ditenggelami air bagi pembinaan Empangan Bakun.

Justeru, sokongan berterusan terhadap Barisan Nasional (BN) secara tidak langsung membolehkan lebih banyak program pembangunan dijalankan di Sungai Asap termasuk Murum bagi meningkatkan tahap kehidupan serta sosioekonomi penduduk.

“Kita semua faham masalah dihadapi penduduk Sungai Asap yang rata-ratanya menyuarakan masalah tanah sedia ada diberi oleh kerajaan tidak mencukupi bagi mereka menjalankan aktiviti pertanian memandangkan populasi penduduk semakin bertambah dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Sambil menyifatkan ini merupakan satu berita baik yang ditunggu-tunggu masyarakat di Sungai Asap, Masing berharap pembukaan tanah milik penduduk nanti mengikut sempadan asal.

Katanya sempadan dari sebuah kampung dengan kampung lain atau sempadan individu antara pemilik tanah harus tepat agar tidak wujud sebarang pertikaian atau masalah perebutan tanah.

“Saya harap penduduk kampung atau rumah panjang memiliki tanah sekitar empangan agar memanjangkan permintaan mereka kepada pihak berwajib bagi memastikan segala prosedur penerokaan atau pertanian di tanah berdekatan empangan memenuhi spesifikasi ditetapkan,” jelasnya.

Hadir sama Ahli Parlimen Hulu Rajang Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ketua Pemuda PRS Kennedy Chuk Pai Ugon dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Angeline Umis Tujok.