Sarawak dapat RM124 juta buka 124 PI1M

0

MIRI: Sejumlah RM124 juta telah diperuntuk kepada Sarawak untuk membolehkan 124 Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) beroperasi di seluruh negeri ini sehingga penghujung tahun ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata ini termasuk 10 PI1M yang diwujudkan di bahagian Miri dengan tiga daripadanya masing-masing di Niah Suai, Bekenu serta Kuala Sibuti.

Menurut beliau, menjadi hasrat kerajaan merapatkan jurang digital antara masyarakat di kampung dan bandar dengan mewujudkan pusat Internet bagi membolehkan penduduk kawasan pedalaman mengakses Internet jalur lebar serta menikmati kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Justeru bagi tujuan itu kata beliau, pelbagai inisiatif telah dilakukan kerajaan menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam melahirkan rakyat bermaklumat dan celik teknologi tidak kira sama ada di kampung atau bandar.

“Kerajaan menyediakan penyediaan perkhidmatan capaian Internet dengan kelajuan sehingga 4 megabit per saat (Mbps) di PI1M dengan memberi tumpuan kawasan luar bandar.

“Justeru penduduk di kawasan luar bandar khususnya di Niah, Suai harus memanfaatkan kemudahan Internet ini untuk menambah pendapatan,” katanya.

Beliau memberitahu demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian dan Hari Bersama Komuniti PI1M Daerah Niah Suai di Kampung Sepupok, Niah di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Sibuti Ahmad Lai Bujang, Ketua Pegawai Sektor Komunikasi SKMM Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, calon Barisan Nasional di DUN Bekenu Rosey Yunus serta Ketua Pengarah Eksekutif Pos Malaysia Datuk Mohd Syukri Mohd Salleh.

Menurut Jailani, di Sarawak sahaja dari segi penembusan telefon selular kini pada kadar 123.5 peratus berbanding 43.3 peratus apabila program ini mula dilaksanakan pada 2008.

“Untuk jalur lebar pula dari segi kadar penembusan isi rumah hanya 13.6 peratus pada 2008 dan kini meningkat kepada 78.3 peratus.

“Manakala dari segi penghantaran surat pula kini mencapai 86 peratus berbanding hanya 59 peratus pada 2008,” ujarnya.

Pada majlis sama, timbalan menteri terbabit turut mengumumkan mulai 1 April 2016, kerajaan telah bersetuju memberi kemudahan perkhidmatan percuma di semua PI1M untuk para pelajar berusia 20 tahun ke bawah atau mempunyai kad pelajar universiti.

Perkhidmatan sama (percuma) turut diberikan kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas dan orang kurang upaya.