Presiden SDAA mahu ahlinya berfikiran positif hadapi cabaran

0

SIBU: Presiden Persatuan Memanah Bahagian Sibu (SDAA) Tiong Kiong King minta ahli-ahlinya bekerjasama memastikan persatuan itu mengorak langkah lebih jauh bagi mengecapi lebih banyak kemenangan.

“Sejak tahun lalu kita sudah sedar cabaran bakal dihadapi. Justeru itu, saya mengajak semua orang berfikiran positif dengan mencari jalan menghadapi cabaran mendatang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung SDAA Ke-4 di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Eric Tiong.

Tiong berkata, sukan memanah mula menarik ramai penggemar sukan itu sungguhpun ia membangun agak perlahan khususnya di wilayah tengah.

“Tahun lalu, kita mengadakan satu pameran sempena Festival Kebudayaan Borneo (BCF) dan menarik perhatian orang ramai,” ujar beliau.

Menurut Tiong, SDAA tidak ubah seperti sebuah perniagaan yang memerlukan kerjasama semua orang.

Beliau berkata, setiap ahli dalam persatuan mesti bersepakat merencanakan pelbagai strategi agar sukan memanah terus mendapat sambutan.

“Ahli-ahli persatuan mempunyai jawatan dalam persatuan harus komited dengan peranan mereka di samping menjalankan tanggungjawab diamanahkan dengan penuh integriti,” katanya.

Pada mesyuarat tersebut, Tiong dipilih semula sebagai presiden dan dibantu Bustamin Luhi sebagai timbalan.

Naib Presiden I dijawat oleh Ellyne Tong manakala Naib Presiden II, Ronald Tiong.

Eric dilantik sebagai setiausaha dibantu oleh Fabian Tang.

Jawatan bendahari disandang Ting Chang Seng manakala Hii Bee Ching dilantik Pegawai Pembangunan.

Lima ahli jawatankuasa lain ialah Tiong Yeu Yen, Simon Wong, Nicholas Engong, Sherry Lo dan Albert Lee.