Bukit Goram: DAP pertaruh Larry Asap berikutan pengunduran Larry Sng

0
TAWAN SARAWAK: Chong (duduk, lima kanan) bersama calon-calon DAP lain menunjukkan watikah lantikan parti untuk bertanding dalam PRN11.

TAWAN SARAWAK: Chong (duduk, lima kanan) bersama calon-calon DAP lain menunjukkan watikah lantikan parti untuk bertanding dalam PRN11.

KUCHING: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak mempertaruhkan Larry Asap di Bukit Goram susulan peng-unduran bekas Presiden Parti Pekerja Sarawak (SWP) Larry Sng daripada bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Menurut Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, Larry Asap yang pada asalnya merupakan calon Baleh ditarik ke Bukit Goram selepas SWP mengesahkan tidak akan bertanding di kerusi tersebut.

“Saya telah menghubungi setiausaha agung SWP lewat petang semalam (Rabu) dan mereka mengesahkan bahawa mereka tidak akan bertanding di Bukit Goram, oleh itu kami meletakkan calon Baleh kita ke Bukit Goram.

“Dengan pengunduran Larry Sng, kami menampilkan Larry Asap di kerusi itu,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan 29 daripada 30 calon DAP di Pusat Khidmat DAP Kuching di sini, semalam.

Chong memberitahu, kerusi Bukit Goram sememangnya diperuntukkan kepada DAP dalam rundingan asal sebelum SWP menyatakan hasrat untuk meletakkan Sng di kerusi tersebut.

Justeru peletakan calon DAP di kerusi itu katanya, tidak menimbulkan sebarang isu memandangkan ia tidak tersenarai dalam 40 kerusi yang bakal ditandingi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mengulas mengenai barisan calon bagi PRN kali ini yang sebahagian besar terdiri daripada muka baharu dan enam calon wanita, Chong memberitahu ia merupakan kali pertama DAP meletakkan lebih ramai calon Dayak berbanding kaum Cina.

Ketika ditanya jika DAP mampu menang di kerusi-kerusi majoriti Dayak berkenaan, beliau sekadar memberitahu: “Kita hanya akan bertanding jika berkeyakinan mampu menang.”

Beliau memberitahu, bagai-manapun DAP akan menghadapi kesukaran dalam mempertahankan kerusi-kerusi majoriti Cina berikutan populariti Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem atas dasar-dasar dilaksanakan selepas mengambil alih jawatan itu daripada Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang kini merupakan Yang di-Pertua Negeri.

“Saya harus mengakui kita akan berdepan dengan cabaran, dengan pertukaran Ketua Menteri daripada Taib kepada Adenan, serta populariti dan dasar-dasar diperkenalkan Adenan, pera-saan akar umbi berubah,” kata Chong.

Bagaimanapun DAP katanya, dapat membuka mata rakyat menerusi siri kempen yang bakal dilaksanakan bahawa Adenan masih sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) dan adalah sukar bagi beliau untuk mengubah dimensi BN.

“Walaupun dengan populariti beliau (Adenan), kehidupan kita masih semakin sukar kerana beliau secara berseorangan tidak dapat mengubah apa-apa kerana masih sebahagian daripada BN,” katanya.

Chong turut mengumumkan bahawa beliau akan memper-tahankan kerusi Kota Sentosa bersama penyandang-penyandang lain yang bertanding di kerusi masing-masing seperti Wong King Wei (Padungan), Violet Yong (Pending), Christina Chiew (Batu Kawah), Ting Tze Fui (Meradong), Yap Hoi Liong (Dudong), David Wong (Pelawan), Tanjong Batu (Chiew Chiu Sing) dan Alan Ling (Piasau).

Selain Larry Asap, muka-muka baharu terdiri daripada Abdul Aziz Isa (Stakan), Sanjan Daik (Mambong), Andrew Nyabe (Kedup), Yong Siew Wei (Repok), Rinda Juliza Alexander (Pakan), Richard Lias (Ngemah), Irene Mary Chang (Bukit Assek), Chiew Sung Ngie (Bawang Assan), Frankie Bendindang (Pelagus), Paren Nyawi (Katibas), Kenneth Adan Silek (Murum), Leighton Manjah (Kemena), Baba Emperan (Samalaju), Dr Ting Tiong Choon (Pujut) dan Paul Raja (Mulu).

Calon-calon lain pada PRN kali ini ialah Mordi Bimol (Tasik Biru), Edward Luwak (Bukit Semuja), Leon Jimat (Simanggang) dan Dr Baru Langub (Senadin).

“Kita menyeru para pengundi di Sarawak untuk menunjukkan sokongan dalam bentuk undi bagi menjadikan kita pembangkang lebih kukuh sekali gus menafikan majoriti dua pertiga BN dalam DUN,” katanya.