CIDB arah tutup operasi tapak pembinaan langgar syarat ditetapkan

0
PERIKSA: Pegawai CIDB memeriksa dokumen pekerja binaan semasa operasi di tapak pembinaan di Kolombong, kelmarin.

PERIKSA: Pegawai CIDB memeriksa dokumen pekerja binaan semasa operasi di tapak pembinaan di Kolombong, kelmarin.

KOTA KINABALU: Sebuah tapak pembinaan yang sedang beroperasi di Kelombong, dekat sini, diarahkan tutup oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) selepas diambil alih oleh tiga sub-kontraktor kerana dipercayai melanggar Akta 520 (Pindaan 2011) CIDB.

Pengarah CIDB Sabah Sharifudin Che Omar berkata, pihak pemaju didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 25 kerana gagal mendaftarkan diri dengan CIDB semasa melaksanakan apa-apa kerja pembinaan.

“Hasil pemeriksaan turut mendapati kira-kira 100 pekerja binaan tidak berdaftar dengan pihak CIDB yang turut termaktub dalam kesalahan mengikut Seksyen 33 Akta 520.

“Berikutan itu, kita mengarahkan pihak kontraktor menghentikan operasi buat sementara waktu sehingga kerja siasatan selesai dijalankan,” katanya dalam sidang media di tapak pembinaan berkenaan kelmarin.

Operasi bersepadu terbabit dilaksanakan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Imigresen, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Jabatan Buruh serta Akedemi Binaan Malaysia (ABM).

Sharifudin berkata, operasi ditumpukan kepada kesalahan utama yang dilakukan oleh sub-kontraktor yang tidak mendaftarkan kerja pembinaan kepada CIDB selain mengenal pasti pekerja tidak berdaftar dengan CIDB dan tidak mempunyai ‘kad hijau’ CIDB.

“Objektif operasi bertujuan mendidik dan menggalakkan pemaju pembinaan mematuhi undang-undang dan prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan di tapak pembinaan terutamanya yang tertakluk mengikut Akta 520.

“Operasi ini juga bertujuan memastikan kerja-kerja pembinaan mencapai tahap kesihatan dan keselamatan ditetapkan oleh CIDB, termasuk menunjukkan profesionalisme semasa menjalankan tugas masing-masing di tapak pembinaan.

“Kita amat harapkan agar semua pihak mematuhi peraturan terbabit bagi memastikan kualiti, tahap keselamatan dan kesihatan dalam industri pembinaan dapat ditingkatkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata terdapat sebanyak 640 projek berdaftar dengan CIDB di Sabah pada tahun 2013, diikuti 460 pada 2014 dan 472 pada 2015.

Katanya, Sabah merekodkan bilangan kontraktor kedua terbesar di Malaysia dengan kira-kira 11,000 kontraktor berdaftar selepas 12,000 kontraktor di Selangor, katanya sambil menambah 1,500 projek yang sedang dijalankan di negeri ini.