Dua syarikat tampil hulur tajaan kewangan kepada Welson, ibu

0
SUMBANGAN IKHLAS: Welson (tengah) dan Lee (dua kanan) menerima replika cek bernilai RM10,000 masing-masing daripada i.Star Ideas Factory Sdn Bhd dan Revor Bedding yang diwakili Adriana (dua kiri) dan Mark (kanan) di Kuching, semalam. Turut kelihatan Jason (kiri).

SUMBANGAN IKHLAS: Welson (tengah) dan Lee (dua kanan) menerima replika cek bernilai RM10,000 masing-masing daripada i.Star Ideas Factory Sdn Bhd dan Revor Bedding yang diwakili Adriana (dua kiri) dan Mark (kanan) di Kuching, semalam. Turut kelihatan Jason (kiri).

KUCHING: Satu-satunya wakil atlet acara renang gaya bebas pada Sukan Olimpik 2016 dari Malaysia yang juga merupakan anak jati Sarawak, Welson Sim menerima tajaan kewangan daripada dua syarikat iaitu i.Star Ideas Factory Sdn Bhd dan Revor Bedding, semalam.

Menurut Pengarah Urusan i.Star Ideas Factory Sdn Bhd Datuk Adriana Law, tajaan tersebut berupa sumbangan ikhlas bagi membeli tiket penerbangan, penginapan dan perbelanjaan lain untuk ibu Welson yang berhasrat menemaninya ke Rio de Janeiro, Brazil pada temasya sukan itu yang bakal berlangsung Ogos depan.

“Kita tahu hasrat seorang ibu yang mahu melihat anaknya beraksi pada temasya sukan penuh berprestij itu, apatah lagi beliau satu-satunya atlet acara renang gaya bebas yang mewakili negara kita, dan beliau adalah anak Sarawak.

“Justeru, kita rasa terpanggil untuk membantu sedikit sebanyak dalam aspek perbelanjaan ibu beliau agar dapat pergi ke Brazil (Rio de Janeiro) dan memberi sokongan lebih dekat kepada anaknya untuk lebih bersemangat sekali gus memenangi pingat emas untuk negara kita,” ujarya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sebelum penyerahan replika cek kepada Welson dan ibunya, Lee Ngiat Kim yang turut hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Pengarah Urusan Revor Bedding Mark Mah berkata, sumbangan itu salah satu usaha syarikat dalam memberi balik kepada masyarakat yang memerlukan.

“Selain itu, kita juga berharap agar masyarakat lain dapat mencontohi semangat Welson memajukan diri khususnya dalam acara sukan sehingga melayakkan diri ke peringkat lebih tinggi termasuk mewakili negara ke peringkat dunia,” jelasnya.

Welson, 19, ketika ditemui melahirkan perasaan terharu dengan sumbangan yang disampaikan kepada beliau dan ibunya.

Jelasnya, persiapan untuk ke Brazil kini giat diadakan termasuk mencari tiket penerbangan yang berpatutan untuk ibunya serta tiket masuk ke stadium, lokasi beliau akan beraksi pada temasya sukan itu.

“Saya sangat berterima kasih dengan sumbangan ini, dan dengan adanya kehadiran ibu saya semasa sukan itu kelak, diharap ia dapat memberi semangat yang lebih berganda untuk saya beraksi sekali gus meraih pingat.

“Harapan saya juga adalah untuk melepasi catatan masa peribadi terbaik saya iaitu 1 minit 47 saat bagi acara renang gaya bebas 200 meter dan 3 minit 50 saat bagi 400 meter, seterusnya mencatat rekod peribadi terbaik baharu dan memasuki ke peringkat separuh akhir,” katanya penuh bersemangat.

Welson merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Lintang ketika Tingkatan 1 sehingga 3 dan memasuki Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) ketika Tingkatan 4 dan 5.

Beliau mula bergiat dengan sukan renang ketika berusia 10 tahun dan berjinak-jinak menyertai pertandingan ketika berusia 11 tahun dan akhirnya ke peringkat dunia, seperti hari ini.

Pada majlis itu, i.Star Ideas Factory Sdn Bhd dan Revor Bedding masing-masing menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Welson dan ibunya.

Hadir sama Pengarah i.Star Ideas Factory Sdn Bhd Jason Yap.