GIATMARA lahir 340,000 pelatih sejak 1986

0

Termasuk 16,000 pelatih bagi S’wak sejak 1992, sehingga kini terdapat 231 GIATMARA di seluruh M’sia

// Oleh Kepu Sidi //

TONGGAK NEGARA: Nanta  bersama pelajar GIATMARA Saratok sebaik sahaja selesai menyempurnakan upacara pecah tanah GIATMARA Saratok, kelmarin.

TONGGAK NEGARA: Nanta bersama pelajar GIATMARA Saratok sebaik sahaja selesai menyempurnakan upacara pecah tanah GIATMARA Saratok, kelmarin.

SARATOK: Sejak ditubuhkan, GIATMARA berjaya melahirkan seramai 340,000 pelatih di seluruh negara sejak 1986 dan 16,000 pelatih bagi negeri Sarawak sejak 1992.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Alexander Nanta Linggi berkata sehingga kini, terdapat 231 GIATMARA ditubuhkan di seluruh negara.

“Berdasarkan stastistik, sejak penubuhannya GIATMARA berjaya menyumbang dan melahirkan 80 peratus daripada 23,000 pekerja mahir dalam masa setahun yang kebanyakannya menjadi usahawan, pekerja mahir dan melanjutkan pengajian mereka.

“Melalui  dasar 1Parlimen 1GIATMARA ini, lebih 67 jenis kursus dianjur GIATMARA di seluruh negara ini menjadikan ia sebagai agensi latihan kemahiran terkemuka di Malaysia,” katanya pada Majlis Perasmian  Pecah Tanah GIATMARA Saratok di Dewan Masyarakat Sri Krian di sini, kelmarin.

Justeru, beliau menggesa semua warga kerja GIATMARA supaya terus berdiri teguh dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab dilaksana termasuk institusi latihan kemahiran diamanahkan untuk melatih anak-anak muda di dalam dan luar bandar agar kompeten dan setanding bangsa lain di Malaysia.

Pada majlis itu, Nanta berkata sejajar dengan usia dan pencapaian GIATMARA Saratok selama ini, kerajaan pada dasarnya bersetuju menyediakan tapak kekal dan membina bangunan baharu atas tapak berkeluasan lima ekar yang dianggarkan bernilai RM10 juta.

“Kita berasakan sudah tiba masanya untuk kita mengangkat imej institusi unggul seperti GIATMARA ini kerana peranan dan sumbangan organisasi yang ditunjuk selama ini amat cemerlang dan membanggakan khususnya dalam pembangunan modal insan yang berteraskan kepada latihan teknikal dan vokasional,” katanya.

Kini katanya, GIATMARA Saratok tidak lagi menjadi ‘juara kampung’ semata-mata malah peranan dan sumbangannya turut diiktiraf oleh kerajaan dan pelbagai agensi lain termasuk pihak industri.

Tambahnya,tidak dapat dinafikan bahawa kejayaan dan pengiktirafan yang ditempa oleh GIATMARA Saratok selama ini adalah hasil kegigihan tenaga pengajar dalam beberapa pertandingan kemahiran mahupun anugerah inovasi dan kualiti.

“GIATMARA Saratok sering mengharumkan nama GIATMARA Sarawak khususnya dan Malaysia amnya apabila memenangi pelbagai anugerah dan pengiktirafan sama ada di peringkat negeri, kebangsaan, ASEAN mahupun dunia.

“Sepanjang menyertai pelbagai pertandingan kemahiran di pelbagai peringkat,GIATMARA Saratok pernah memenangi tiga anugerah ‘Medallion For Excellence’, lima pingat emas, dua pingat perak dan tiga pingat gangsa adalah pencapaian yang amat membanggakan GIATMARA Saratok membuktika ia mampu bersaing di peringkat global,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Abdul Wahab Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif GIATMARA Malaysia Datuk Mohd Rosdi Ismail, calon Barisan Nasional N.39 Krian Kilat Beriak, Pegawai Daerah Saratok Mohad Ikhmal Abdullah serta dif kehormat dan jemputan lain.