S’wak ‘gigit jari’ sekali lagi

0

KUCHING: Skuad bawah 19 tahun Sarawak terus dirundung duka apabila sekali lagi tewas di laman sendiri, kali ini di tangan Kedah dengan jaringan 1-0 pada aksi Piala Belia 2016 kelmarin.

Beraksi di Stadium Negeri, Petra Jaya, anak didik Pengiran Bala melepaskan peluang untuk mengutip mata penuh apabila deretan peluang untuk menjaringkan gol gagal diterjemahkan.

Sebaliknya, pelawat mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan Mohd Ikhmal Ahmad pada minit ke-39.

Gol itu bertahan sehingga tamat perlawanan sekaligus membolehkan Kedah pulang dengan tiga mata penuh manakala Sarawak sekali lagi menggigit jari.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan ditunjukkan pemain sepanjang perlawanan.

“Mereka menunjukkan peningkatan namun masih kurang dari aspek ketajaman untuk menjaringkan gol dan ia perlu diperbaiki pada perlawanan yang akan datang,” jelas Pengiran semalam.

Pengurus Pasukan Azman Mohd Edi turut memuji semangat melawan pemain meskipun terpaksa beraksi tanpa dua tonggak utama (Azafarezal Harun dan Mohd Shazwan Busrah) yang dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.