Guru didakwa empat tuduhan rogol pelajar

0
DITUDUH MEROGOL:  Zalani yang menutup wajahnya ketika keluar dari kamar mahkamah mendengar penjelasan Ram.

DITUDUH MEROGOL: Zalani yang menutup wajahnya ketika keluar dari kamar mahkamah mendengar penjelasan Ram.

KOTA KINABALU: Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kelmarin, atas empat pertuduhan merogol seorang pelajar.

Hakim Azreena Aziz menetapkan pada 9 Mei tahun ini sebagai pengurusan kes terhadap Zalani Amit, 52, yang diwakili peguam Ram Singh, selepas mengaku tidak bersalah.

Pertama hingga kedua, tertuduh didakwa merogol mangsa berusia 12 tahun pada waktu kejadian, pada 29 Ogos dan 4 Oktober 2014 antara jam 9.45 pagi hingga jam 7 malam.

Ketiga dan keempat, tertuduh sekali lagi dituduh merogol mangsa yang sama, pada 26 September dan 18 Oktober 2014 jam 12.30 tengah hari hingga jam 7 malam.

Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah kotej, Borneo Native Village, Jalan Penampang, Papar Lama.

Sekiranya Zalani disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, boleh dipenjara sehingga tempoh 20 tahun dan dikenakan sebatan.

Timbalan Pendakwar raya Akmal Zatul Mohamed Nawi membantah tertuduh ditawarkan ikat jamin, kerana mempunyai empat pertuduhan rogol.

Katanya, tertuduh pernah didakwa di mahkamah Papar atas pertuduhan mencabul mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, tertuduh tinggal di tempat yang sama dengan mangsa dan mempunyai risiko akan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, Ram berkata, tertuduh masih mengajar di salah sebuah sekolah di Papar dan diberikan jaminan sebanyak RM2,000 oleh mahkamah Papar.

Menurutnya, tiada isu tertuduh akan mengganggu mangsa dan beliau mencadangkan anak guamnya diberikan jaminan sebanyak RM2,000 untuk setiap pertuduhan, kerana melibatkan transaksi sama.

Mahkamah membenarkan Zalani diberikan ikat jamin sebanyak RM20,000 dideposit penuh untuk semua pertuduhan dan dicagarkan dua penjamin tempatan.