Warga asing maut dipercayai terjatuh dari tingkat 12

0
TERJATUH: Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE1 untuk tindakan lanjut.

TERJATUH: Anggota polis mengangkat mayat mangsa untuk dihantar ke HQE1 untuk tindakan lanjut.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing ditemui maut di sebuah gelanggang tenis, dipercayai terjatuh dari tingkat 12 sebuah kondominium mewah di Tanjung Aru di sini, petang kelmarin.

Mangsa dipercayai meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, polis bagaimanapun belum mengenal pasti butir-butir mangsa orang kulit putih terbabit.

“Siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa yang memakai baju berwarna hitam dijumpai orang ramai dan disyaki terjatuh dari tingkat 12 bangunan terbabit. Polis menemui sepasang selipar ditinggalkan di sebuah kerusi plastik di tingkat berkenaan,” katanya.

Chandra berkata, semakan kamera litar tertutup (CCTV) dari sebuah rumah di tingkat 12 mendapati mangsa keluar seorang diri dari lif nombor tiga.

“Mangsa kemudian meletakkan kerusi di kaki lima berhadapan sebuah rumah di kondominium berkenaan,” katanya.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) dan proses bedah siasat dijalankan kira-kira jam 9 pagi kelmarin.