Atlet Sarawak harus menjadikan Pusat Petanque sebagai inspirasi

0

KUCHING: Atlet Sarawak harus menjadikan Pusat Petanque Sarawak yang baharu sebagai inspirasi untuk memburu kejuaraan pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-18 yang akan berlangsung di sini dari 22 hingga 31 Julai depan.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Datuk Amar Morshidi Abdul Ghani berkata tiada alasan untuk Sarawak tidak dapat merangkul gelaran juara dengan adanya fasiliti terbaik tersebut.

“Saya berharap dengan adanya pusat petanque baharu ini akan menaikkan semangat atlet-atlet untuk memberikan yang terbaik memburu kemenangan pada SUKMA XVIII nanti.

“Saya juga berharap pusat ini digunakan sebaik-baiknya untuk mengasah dan melahirkan atlet-atlet baharu dalam sukan ini,” katanya pada perasmian Pusat Petanque Sarawak di Kampung Santubong semalam.

Jelasnya, selain kegunaan atlet-atlet negeri, kompleks berkenaan juga boleh dijadikan sebagai pusat latihan dan pertandingan untuk pelajar-pelajar sekolah berhampiran.

Beliau berharap kemudahan sukan itu dijaga sepenuhnya agar dapat digunakan untuk melahirkan generasi baharu pada masa akan datang.

Menurut Morshidi, pusat yang dibina dengan kos hampir RM5 juta itu berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan.

Ia dilengkapi dengan fasiliti serta kemudahan seperti lapan gelanggang tertutup, 24 gelanggang terbuka, bilik mesyuarat, bilik VIP, bilik urus setia, kantin, surau, tandas, pondok pengawal, tempat letak kereta dan motosikal.

Menjelas lanjut, Morshidi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengelola SUKMA XVIII berkata semua venue pertandingan dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kemudahan sukan lain yang sedang dibina dan dinaik taraf akan siap sepenuhnya sebelum 30 Mei depan. Antara kemudahan yang sedang dalam pembinaan lapang sasar menembak, pusat skuasy dan stadium boling padang,” katanya.

Penyerahan kunci replika pusat itu semalam dilakukan oleh Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai kepada Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Sosial (KPS), Kameri Affandi.