Khairy: Fahami rombakan FAM

0

Pemilihan jawatankuasa tertinggi eksekutifnya dilakukan melalui undian kongres

// Oleh Harry Ilias //

PENERANGAN: Khairy menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar bersama Fadillah (kiri) dan Mohamad Kadim di UNIMAS, Kota Samarahan semalam.

PENERANGAN: Khairy menjawab pertanyaan wartawan pada sidang akhbar bersama Fadillah (kiri) dan Mohamad Kadim di UNIMAS, Kota Samarahan semalam.

KUCHING: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar meminta semua pihak yang mendesak agar Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dirombak memahami perkara asas berkaitan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi badan induk bola sepak negara itu.

Katanya, FAM merupakan badan sukan yang mana pemilihan jawatankuasa tertinggi eksekutifnya dilakukan melalui undian pada kongres FAM serta tidak boleh dilantik sesuka hati.

“Kalau orang memahami bahawa FAM itu adalah badan sukan yang mana jawatan tertingginya dipilih melalui undian kongres maka mereka faham bahawa kongres FAM akan datang adalah pada 2018.

“Selagi barisan kepimpinan FAM hari ini tidak mengosongkan jawatan, peluang seterusnya untuk merombak adalah pada kongres 2018.

“Pemilihan itu pula dilakukan oleh ahli-ahli gabungan terdiri Persatuan Bola Sepak (FA) Negeri, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Jelajah Kampus Rakan Muda 2016 di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Kota Samarahan semalam.

Turut hadir Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Naib Canselor UUNIMAS, Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.

Baru-baru ini, pelbagai pihak secara agresif mendesak kepimpinan tertinggi FAM dirombak berikutan kemerosotan prestasi skuad kebangsaan di pentas antarabangsa.

Isu bermula apabila Khairy mengeluarkan kenyataan menyifatkan kedudukan ranking skuad Harimau Malaysia berada di tangga 174 dunia sukar meningkat kerana itu sahaja tahap pemain dimiliki sekarang.

Kenyataan itu disahut Penasihat Diraja Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menggesa untuk mengadakan perbahasan secara langsung di televisyen mengenai topik siapa yang bertanggungjawab atas kemerosotan itu.

Rentetan daripada dua kenyataan itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa mencadangkan Tunku Ismail sebagai peneraju baharu FAM diikuti cadangan yang sama oleh Bapa Bola Sepak Johor, Datuk Suleiman Mohd Noor.

Mengulas lanjut, Khairy berkata saranan untuk rombakan itu tidak terjadi sekiranya syarat-syarat pemilihan pucuk pimpinan dalam setiap badan sukan di negara difahami oleh semua pihak.

“Menteri tiada kuasa melantik pemimpin dalam badan sukan. Kalau lantikan menteri, senanglah menteri buat keputusan. Setiap badan sukan di negara ini mempunyai perlembagaan tersendiri dan semua pemilihan dilakukan melalui undian ahli-ahli gabungan,” katanya.