52 petinju berentap Kejohanan Muaythai Samarahan 2016

0

KUCHING: Seramai 52 petinju mewakili sembilan kelab termasuk Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) akan berentap pada Kejohanan Muaythai Samarahan 2016 di Pusat Beli- Belah Summer Mall, Kota Samarahan pada 1 Mei ini.

Ia anjuran bersama Persatuan Muaythai Bahagian Samarahan dan Kelab Muaythai Phoenix Meranek dengan kerjasama pengurusan Pusat Beli- Belah Summer Mall, Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Samarahan, Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kesihatan dan beberapa agensi berkaitan.

Menurut Presiden Persatuan Muaythai Bahagian Samarahan, Azmanni Mohamed ini adalah kali pertama pihaknya menganjurkan kejohanan seumpama sejak persatuan itu ditubuhkan pada 2015.

Kelab-kelab yang mengambil bahagian adalah Kelab Muaythai Phoenix Meranek Samarahan, Persatuan Muathai UiTM Sarawak Samarahan, Kelab Muaythai Kenyalang Kuching, Kelab Muaythai SS Fighter Kuching, Kelab Muaythai Lundu, Gymbox Kuching, Kelab Muaythai PS Bintulu, Kelab Muaythai Warrior Miri dan seorang peserta jemputan dari Sabah.

Ia melibatkan keseluruhan 27 perlawanan profesional dan amatur dengan aksi bermula dari jam 11 pagi hingga ke malam.

Perlawanan tumpuan terarah kepada perebutan Piala Perpaduan Samarahan (46kg) antara wakil Kelab Muaythai Phoenix Meranek, Mohd Khairie Nazmie menentang Slyvester Roy Sudirman dari Kelab Muaythai Lundu.

Selain itu, perebutan Piala The Summer Mall Samarahan (Pro 61kg) juga tidak kurang hebatnya melibatkan Roslan Johani dari Kelab Muaythai Phoenix Meranek menentang Iskandar Dzulkarnain Ruzlan (PS Muaythai Bintulu).

Turut bertanding dalam kategori sama Fadzly Julai (Warrior Miri) berdepan Faiz Rabiee (Kelab Muaythai Kenyalang).

Perlawanan tumpuan lain adalah Pro jemputan antara Heendrew Lois Rekan (Kelab Muaythai Lundu) menentang petinju Gymbox, Morry dari Iran.

Bagi perlawanan Pro Jemputan Borneo, jaguh Sarawak Trevor Salang (Warrior Miri) akan menentang Randall The Slayer Kadayum dari Sabah.