Petanda amat baik

0

BN diyakini lakar kejayaan cemerlang, DAP dan PKR gagal selesai kemelut

MENANG TANPA BERTANDING: Para penyokong menjulang Awang Tengah dan Dr Abdul Rahman yang masing-masing memenangi kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota tanpa bertanding, semalam.

MENANG TANPA BERTANDING: Para penyokong menjulang Awang Tengah dan Dr Abdul Rahman yang masing-masing memenangi kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota tanpa bertanding, semalam.

// Oleh Saibi Gi, Jessica Jawing dan Jeremy Lanson //

KUCHING: Kemenangan Barisan Nasional (BN) di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada hari penamaan calon semalam merupakan petanda amat baik untuk parti itu menempa kejayaan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Pengerusi BN Negeri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berkata kemenangan calon BN Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan calon BN Dr Abdul Rahman Ismail (Bukit Kota) memberi keyakinan terhadap BN.

BN yang meletakkan semua calon di 82 kerusi kini memberi tumpuan dan usaha untuk menang di baki 80 kerusi.

Menurutnya, kemenangan BN juga dikira berdasarkan kegagalan DAP dan PKR menyelesaikan pertindihan di beberapa kerusi yang menyaksikan calon daripada dua parti itu bertanding di kerusi sama.

“Ada kerusi yang menunjukkan DAP menentang PKR dan ini menunjukkan ketidaksepakatan di kalangan mereka,” katanya pada sidang media selepas proses penamaan calon di Dewan Masyarakat Lundu, semalam.

Awang Tengah yang juga Naib Presiden Kanan PBB dan Dr Abdul Rahman juga daripada PBB, masing-masing mengekalkan kerusi Bukit Sari dan Bukit Kota untuk penggal ketiga.

Kali terakhir BN menang tanpa bertanding adalah bagi kerusi Daro dan Dalat pada tahun 2006.

Pada 2011, BN tidak memperoleh kemenangan percuma apabila menang 55 daripada 71 kerusi, DAP 12 dan masing-masing satu oleh PKR dan calon Bebas.

Penganalisis politik Profesor Madya Dr Jeniri Amir yang mengulas kemenangan awal BN itu berkata, ia membayangkan BN terutamanya PBB memiliki penerimaan amat baik di kalangan penduduk di dua kawasan itu.

Sambil terkejut dengan keputusan itu, beliau berkata kemenangan tanpa bertanding juga mungkin susulan khidmat terbaik diberikan Awang Tengah dan Dr Abdul Rahman.

“Jarang kita dengar ada kemenangan tanpa bertanding pada zaman sekarang. Mungkin zaman dahulu ia sesuatu yang biasa tetapi sekarang agak luar biasa kerana faktor peredaran zaman,” katanya.

Malah beliau menyifatkan kemenangan itu sebagai petanda awal bagi BN mencatatkan sejarah sekali lagi pada PRN11 ini.

“Ini merupakan isyarat baik ketika proses pilihan raya memasuki peringkat kempen selama 12 hari,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

Mengulas perkara sama, penganalisis politik Dato Peter Minos berkata kemenangan awal itu turut menggambarkan penduduk mahu Adenan mengetuai pemerintahan BN bagi penggal depan dan seterusnya.

Penduduk di luar bandar tahu masa depan Sarawak akan lebih cerah di bawah pemerintahan BN diketuai Adenan, katanya.

“BN boleh menang sekurang-kurangan di 70 kerusi berdasarkan populariti Ketua Menteri Adenan yang amat dihormati dan digemari majoriti rakyat Sarawak,” jelasnya.

Malah, ujarnya, pemilihan calon oleh pucuk pimpinan BN merupakan penyumbang antara terbesar terhadap kemenangan yang akan ditempah parti itu kelak.

“Pembangkang kelihatan kelam-kabut apabila gagal mencapai kata sepakat dalam soal meletakkan calon yang menyaksikan pertembungan mereka di beberapa kerusi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata hari penamaan calon berlangsung dengan lancar di kesemua lapan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini tanpa sebarang laporan tentang kejadian tidak diingini.

Abang Ahmad berkata, seramai 520 anggota dan pegawai polis bertugas meliputi elemen seperti tugas am, trafik, Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Khas, PORU dan Pasukan Gempur Ringan (LSF).

“Tempoh penamaan calon berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku dan terima kasih kepada calon dan parti yang bertanding kerana memberi kerjasama.

“Ternyata perjumpaan pihak polis dengan wakil-wakli calon pada 23 April lepas membuahkan hasil kerana telah mencapai banyak persetujuan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihaknya juga telah berjumpa calon dan wakil calon bagi menerangkan mengenai syarat-syarat yang perlu dipatuhi sepanjang tempoh berkempen.

“Polis juga telah berjumpa dengan calon atau wakil mereka dan menerangkan tentang perkara-perkara yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa tempoh berkempen dengan syarat yang perlu dipatuhi di bawah Akta Pilihan Raya,” katanya.

Lapan kerusi di bawah bidang kuasa ibu pejabat polis daerah adalah Pantai Damai, Demak Laut, Tupong, Samariang, Satok, Padungan, Pending dan Batu Lintang.

“Kita berharap suasana aman yang dilihat pada hari ini (semalam) berterusan sepanjang tempoh berkempen sehingga hari pengundian pada 7 Mei,” katanya.C_PC0012985-map C_PC0012986-calon