Aspirasi bersama

0

Oleh Patricia Gari dan Jessica Jawing//

BERSEMANGAT: Adenan (tiga kiri) mengetuai pemimpin-pemimpin BN negeri Sarawak melaungkan ‘Hidup BN!’ semasa pelancaran Manifesto BN Sarawak 2016.

BERSEMANGAT: Adenan (tiga kiri) mengetuai pemimpin-pemimpin BN negeri Sarawak melaungkan ‘Hidup BN!’ semasa pelancaran Manifesto BN Sarawak 2016.

KUCHING: ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan’ #theAdenanWay dijadikan tema Manifesto Barisan Nasional (BN) Sarawak 2016 sempena Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11).

Manifesto itu dilancarkan Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, semalam.

Beliau berkata, manifesto kali ini agak berbeza berbanding sebelumnya kerana ia merangkumi dua bahagian iaitu pencapaian BN selama ini lebih-lebih lagi dalam tempoh dua tahun lalu dan perkara yang akan dilaksana serta jangkaan pada masa depan.

“Manifesto ini mewakili janji-janji dan ikrar Barisan Nasional Sarawak kepada rakyat Sarawak untuk mencapai aspirasi dikongsi bersama untuk Sarawak yang lebih aman, makmur dan maju.

“Manifesto ini juga, merupakan sasaran serta pelan tindakan BN Sarawak lima tahun akan datang untuk menambah baik taraf hidup rakyat,” katanya ketika berucap melancarkan manifesto itu di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini.

Beliau menambah, sejak beberapa tahun lalu, BN telah mencatat rekod pencapaian cemerlang dan tidak sekadar memberi janji-janji kosong kepada rakyat.

Adenan juga berkata, manifesto itu merupakan kesinambungan manifesto BN sebelum ini yang memperlihat beberapa perkara dan fokus baharu demi kemajuan rakyat dan negeri Sarawak.

Manifesto yang boleh didapati dalam empat bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Iban itu menyenaraikan 15 perkara iaitu Menegakkan Hak Sarawak Dan Rakyatnya, Mempertahankan Keamanan dan Keharmonian Negeri Kita, Memelihara Budaya, Warisan dan Kepercayaan Pelbagai Kaum di Sarawak.

Menjamin Hak Rakyat ke Atas Tanah Mereka, Mempertingkatkan Kebajikan Golongan yang Kurang Bernasib Baik, Menyediakan Lebih Banyak Rumah Mampu Milik untuk Golongan Berpendapatan Rendah dan Sederhana, Mempercepatkan Pembangunan Jaringan Jalan, Liputan Bekalan Air, Elektrik dan Telekomunikasi, Meningkatkan Akses Kepada Perkhidmatan Kesihatan, Meningkatkan Penyertaan Wanita Dalam Aktiviti Sosioekonomi, Mengiktiraf dan Membangunkan Potensi Belia Demi Masa Depan Kita.

Memajukan Pendidikan dan Latihan Teknikal, Mewujudkan Lebih Banyak Peluang Pekerjaan untuk Rakyat Sarawak, Membangunkan Persekitaran Perniagaan yang Kondusif untuk Pelaburan dan Keusahawan dan Industrialisasikan Negeri Melalui Sektor Pembuatan, Pelancongan dan Transformasi Luar Bandar.

“Manifesto BN Sarawak 2016 juga merangkumi 53 prinsip dan tindakan yang sudah diambil dalam tempoh dua tahun lepas sejak saya menjadi Ketua Menteri Sarawak,” tambahnya.

Mengulas lanjut mengenai manifesto itu, Adenan yang juga Presiden PBB berkata perkara pertama menyaksikan kerajaan BN komited melindungi hak rakyat negeri ini seperti disyaratkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan dan Laporan Suruhanjaya Cobbold.

“Kita juga akan meneruskan rundingan untuk menambah jumlah bayaran royalti minyak dan gas kepada Sarawak daripada lima peratus kepada 20 peratus,” ujarnya.

Sementara itu, Adenan yang ditemui selepas majlis itu berkata mendapatkan semula kuasa autonomi sangat penting kepada Sarawak kerana perjanjian asal di bawah syor-syor dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan di bawah Perjanjian Malaysia harus dipegang.

Menurutnya, beberapa kuasa khusunya telah dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak tetapi lama-kelamaan, kuasa itu mula terhakis sejak 30 tahun lalu.

“Sarawak mahukan kuasa-kuasa itu dikembalikan. Saya membangkitkan perkara itu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan beliau sangat terbuka mengenainya.

“Setakat ini, kita (Sarawak) sudah mencapai kuasa autonomi dari segi pentadbiran,” jelasnya.

Ditanya mengenai perkembangan rundingan menaikkan royalti minyak dan gas antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat, Adenan berkata buat masa ini perbincangan ditangguhkan sementara waktu.

“Ada sedikit kemajuan tetapi oleh kerana harga minyak sudah turun, kita menangguhkan rundingan buat sementara waktu. Kita akan menyambung rundingan apabila harga (minyak) sudah naik nanti,” ujarnya.