Cara tradisi, guna teknologi meriahkan suasana kempen

0

Oleh Siti Aisyah Ramli//

GAH: ‘Billboard’ gergasi di kawasan Taman Heritage, Kuching terpampang gah mempamer 53 Dasar dan Perkara yang dibawa Adenan selain promosi kempen BN.

GAH: ‘Billboard’ gergasi di kawasan Taman Heritage, Kuching terpampang gah mempamer 53 Dasar dan Perkara yang dibawa Adenan selain promosi kempen BN.

KUCHING: Selari dengan kecanggihan teknologi masa kini, corak berkempen untuk Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) yang bakal menjelang tiba turut berubah dengan adanya penggunaan ‘billboard’ gergasi elektronik.

Pendekatan yang julung kali digunakan itu sudah pasti akan memberi maklumat lebih jelas, khususnya berkaitan dasar dan program pembangunan yang dilaksanakan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.

Bagaimanapun, tinjauan Utusan Borneo semalam mendapati, corak berkempen secara tradisi seperti penggunaan bendera, poster dan kain rentang tetap digunakan bagi memeriahkan lagi suasana kempen.

Sehubungan itu, meskipun kempen baharu sahaja bermula kelmarin, namun pacakan bendera di sekitar jalan-jalan utama dan jalan kampung di sini telah berjaya menaikkan demam pilihan raya yang dijadualkan berlangsung 7 Mei depan.

Selain bendera Barisan Nasional (BN), turut dapat disaksikan termasuk bendera parti-parti pembangkang seperti Parti Tindakan Demokratik Rakyat (DAP), Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) serta Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Menurut salah seorang penduduk ketika ditemui, Mohamad Faishal Bujang, 41, perasaan teruja untuk menanti hari pengundian semakin dirasai lebih-lebih lagi apabila jalan di sekitar kawasan kediamannya di Samariang di sini dipenuhi bendera berwarna-warni daripada tiga parti.

“Ketika keluar untuk ke tempat kerja pagi tadi (semalam), saya agak teruja melihat warna-warni bendera BN, PAS dan Amanah yang dipacak di sepanjang jalan di kawasan Samariang.

“Malah ia berpanjangan sehingga ke kawasan bandar iaitu Satok dan sepanjang jalan menuju ke pusat bandar Kuching.

“Mungkin itu baharu permulaan dan selepas ini akan lebih meriah suasana berkempen yang hanya kita rasai lima tahun sekali ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hadi Moss, 28, pula menyifatkan hari pertama kempen pilihan raya agak perlahan berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Katanya ia berkemungkinan kerana bahang kempen baharu bermula dan beliau menjangkakan bahang tersebut semakin hebat menjelang dua hingga tiga hari sebelum hari pengundian.

“Mula-mula ini agak perlahan bahang kempen, tapi saya dapat rasa ia akan mula ‘berkocak’ dua ke tiga hari sebelum kita semua turun mengundi,” katanya sambil menambah menerusi pemerhatiannya sehingga semalam, hanya BN dan DAP sahaja yang kelihatan bersemangat menggantung bendera dan kain rentang sedangkan parti lain belum kelihatan.

B16042611 B16042612 B16042613 B16042614 B16042615