Keluarga mangsa culik mohon bantuan calon PRN

0

SIBU: Tanpa diundang ahli keluarga daripada empat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa culik kumpulan bersenjata dari Filipina, naik ke atas pentas ceramah kedua-dua pihak pembangkang dan Barisan Nasional, memohon simpati dan pertolongan pada hari pertama berkempen.

Calon-calon daripada kedua-dua pihak terkejut apabila sekumpulan kira-kira 10 orang datang tanpa pemberitahuan.

Mereka adalah ahli keluarga adik-beradik Wong Teck Pang, 31, dan Teck Chi, 29, sepupu mereka Johnny Lau Jung Hien, 21, dan Wong Hung Sing, 34.

Keempat-empat mereka telah diculik kumpulan militan bersenjata disyaki kumpulan Abu Sayaff, dari kapal tunda berhampiran Pulau Ligitan di Semporna, Sabah pada 1 April lalu.

Tindakan ahli keluarga mangsa culik tersebut dipercayai didorongi keresahan untuk mengumpul wang tebusan sehingga akhir bulan ini.

Difahamkan, kesemua mangsa akan dipancung hidup-hidup sekiranya permintaan untuk menyediakan wang tebusan gagal dipenuhi.

Mereka naik ke pentas membawa sepanduk terus berlutut sambil merayu dengan linangan air mata mendesak calon-calon membantu mereka.

Keadaan itu telah mengelirukan mereka yang berkempen dan turut mengalih tumpuan orang ramai yang memenuhi kawasan kempen.

Ayat-ayat yang ditulis di sepanduk berbunyi, ‘Siapa yang boleh membantu kami untuk menyelamatkan anak-anak kami? Sila hulurkan bantuan anda’.

Calon SUPP di Bukit Assek Chieng Buong Toon, baharu sahaja memulakan ceramahnya apabila ahli keluarga tebusan tiba-tiba berjalan ke arahnya di atas pentas.

Chieng yang bimbang terhadap keselamatannya, bertanya kepada mereka apa yang mereka lakukan.

Tanpa berkata apa-apa, mereka menunjukkan sepanduk mereka serta gambar tebusan.

Wong Chi Ming, iaitu ayah kepada dua beradik yang diculik terus melutut di depan Chieng.

Sebelum itu, calon langsung BN untuk kerusi Dudong Datuk Tiong Thai King terpaksa membatalkan ceramahnya apabila kumpulan itu tiba-tiba berjalan ke pentas dan berlutut ketika seorang penyanyi membuat persembahan.

Seorang penonton yang berada di situ berkata semua orang tergamam seketika kerana khuatir insiden yang buruk akan terjadi.

Walaupun Tiong cuba menenangkan mereka dan menasihati agar mereka membincangkan perkara itu kemudian,namun kumpulan itu tetap tidak berganjak dan enggan meninggalkan pentas memaksa Tiong menamatkan ceramah itu.

Kejadian yang sama berlaku ketika pihak DAP mengadakan ceramah mereka.

“Kami memahami keadaan mereka kerana tarikh yang diberikan untuk menyediakan wang tebusan oleh kumpulan pengganas semakin dekat.

“Kami juga amat bersimpati dan prihatin dengan keselamatan kesemua mangsa yang terbabit,” ujar penyandang kerusi Pelawan David Wong.

Pada 18 April lalu, perbualan antara Chie Ming dan anaknya (tebusan) tersebar luas di laman Facebook dan WhatsApp.

Kumpulan penculik dikatakan meminta sebanyak RM30 juta sebagai wang tebusan untuk pembebasan mereka.