Dadah: Tiga suspek lelaki dicekup

0

SIBU: Tiga suspek lelaki warga tempatan berumur lingkungan 30 hingga 39 tahun dicekup polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu.

Menurut sumber polis, pasukan Narkotik IPD Sibu diketuai Inspektor Tg Mohd Faisal Tg Yeng berjaya merampas satu peket plastik lut sinar kecil berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat kasar 0.70 gm.

Tangkapan dan rampasan tersebut dilakukan dalam satu serbuan jam 11.30 malam di sebuah pondok, Jalan Sentosa di sini kelmarin.

“Semua suspek didapati positif dadah jenis Methamphetamine setelah menjalani ujian saringan awal,” kata sumber.

Ketiga-tiga suspek dibawa ke Balai Polis Sungai Merah dan kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1953.

Dua daripada tiga suspek tersebut pernah ditahan di bawah kesalahan penyalahgunaan dadah dan mempunyai rekod lampau.

Semua suspek dibawa ke hadapan majistret di sini dan direman selama empat hari sehingga 30 April untuk tindakan dan siasatan lanjut.