Dua guru dakwa terima surat amaran ekoran aduan Harden

0

SRI AMAN: Dua guru tampil membuat laporan polis selepas mendakwa menerima surat amaran daripada Jabatan Pendidikan agar tidak terlibat membantu kempen parti pembangkang.

Salah seorang guru terbabit mendakwa, adalah tidak adil jika jabatan mengambil tindakan hanya berdasarkan surat aduan yang diterima daripada pihak bekas Menteri Muda Kemajuan Tanah Datuk Francis Harden.

Beliau mendakwa, surat aduan tersebut bertarikh 14 April berkepala surat Parti SUPP serta ditandatangani oleh Harden.

Surat itu menyebut dua guru terbabit terlibat dalam membantu pihak pembangkang dalam aktiviti politik dan meminta Jabatan Pendidikan untuk memindahkan mereka sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) pada 7 Mei ini.

Dua guru terbabit yang membawa bersama surat itu sebagai bahan bukti semasa membuat laporan polis mendakwa surat itu mencemarkan maruah mereka dan akan mengganggu penilaian oleh pihak jabatan terhadap mereka.

Selain itu, mereka juga mendakwa terdapat tiga lagi guru menerima nasib yang sama kerana cuba menentang Harden.

“Saya tidak percaya serta terperanjat kerana menerima aduan yang tidak berasas ini dan kenyataannya saya tidak pernah terlibat dengan mana-mana aktiviti politik.

“Dia mungkin ada kuasa untuk mengambil tindakan, tetapi sebagai penjawat awam dan calon untuk Barisan Nasional (BN), dia langsung tidak meneliti mengenai perkara tersebut sebelum menulis surat malah menekan Jabatan Pendidikan untuk memindahkan kami.

“Sebagai wakil rakyat, adakah dia memikirkan tentang kami? Apabila kami berpindah maka ia akan memberikan impak yang besar kerana seluruh keluarga kami juga akan berpindah.

“Ini menunjukkan dia tidak mengutamakan rakyatnya.”

Sebagai langkah keselamatan, kedua-dua guru terbabit enggan mendedahkan identiti mereka.