Penuntut kolej swasta dirompak ketika isi minyak

0

KUCHING: Seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta di sini tampil membuat laporan polis selepas dirompak dua lelaki di sebuah stesen minyak di Tabuan Jaya, kelmarin.

Insiden berlaku sekitar jam 8 malam ketika mangsa, 19, bersama rakannya berhenti untuk mengisi minyak di stesen minyak berkenaan dan didatangi kedua-dua suspek yang menunggang sebuah motosikal.

“Seorang daripada suspek kemudian menumbuk muka mangsa sebelum bertindak merampas telefon bimbitnya dan terus melarikan diri. Mangsa tidak sempat berbuat apa-apa,” kata sumber.

Difahamkan, mangsa telah dimaklumkan oleh beberapa pekerja di stesen minyak tersebut bahawa suspek berasal dari Kampung Tabuan Lot.

Bagaimanapun, siasatan lanjut berhubung kejadian masih dijalankan.

Sementara dalam satu kejadian berasingan, seorang lelaki mengalami kerugian ribuan ringgit selepas dia dirompak dua lelaki yang juga dikenalinya ketika berjumpa dengan rakannya di Taman Malihah, kelmarin.

Menurut sumber, mangsa yang berusia 21 tahun itu telah didatangi kedua-dua suspek, di mana seorang daripada mereka dikenali dengan panggilan ‘Apek,’ sekitar jam 2.30 pagi

“Lelaki yang dikenali sebagai ‘Apek’ itu kemudian bertindak mengacukan senjata tajam ke arah mangsa dan mengarahnya menyerahkan semua barang berharga.

“Mangsa yang ketakutan kemudian hanya membiarkan suspek mengambil telefon bimbit serta rantai perak yang dipakainya sebelum kedua-dua suspek beredar dari tempat kejadian,” kata sumber.

Laporan polis berhubung kejadian telah dibuat oleh mangsa dan siasatan lanjut masih dijalankan.