Adenan inspirasi kepada masyarakat minoriti: Siva

0
SOKONG PASUKAN ADENAN: Siva (lapan kiri) bersama calon Batu Kitang Lo Khere Chiang (tujuh kiri) pada penyampaian 600 peket makanan anjuran MHSSC di Pasar Lama Batu Tiga, baru-baru ini.

SOKONG PASUKAN ADENAN: Siva (lapan kiri) bersama calon Batu Kitang Lo Khere Chiang (tujuh kiri) pada penyampaian 600 peket makanan anjuran MHSSC di Pasar Lama Batu Tiga, baru-baru ini.

KUCHING: Masyarakat India di Sarawak dijangka akan berdiri teguh menyokong kepimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem pada Pilihan Raya Negeri Ke-11 (PRN11) ini.

Menurut Penaung Majlis Malaysia Hindu Sangam Negeri Sarawak (MHSSC) Shiva Kumar G, Adenan merupakan seorang yang mengotakan janji dan merupakan inspirasi kepada masyarakat minoriti, masing-masing mempunyai hubungan dengan sejarah Sarawak seperti masyarakat India tempatan.

Katanya jumlah populasi kaum India adalah kira-kira 4,000 orang, tidak termasuk golongan profesional India, bekas atau anggota tentera yang masih berkhidmat serta pegawai kerajaan bermastautin di Sarawak yang kebanyakannya telah berkahwin dengan penduduk tempatan dengan anak-anak kacukan.

“Walaupun dalam jumlah kecil, masyarakat India dijaga dengan agak baik namun masih banyak yang perlu dilakukan,” katanya menerusi satu kenyataan dikeluarkan baru-baru ini.

Menurut beliau, ketika Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyandang jawatan Ketua Menteri selama 33 tahun, masyarakat India menerima sebanyak enam kuil termasuk di Batu Kawa, Jalan Ban Hock, Jalan Rock, Batu Lintang dan Matang.

Oleh itu katanya, Adenan berhak menerima satu penggal lagi dengan mandat rakyat.

Sehubungan itu, beliau yakin masyarakat India akan menyokong Ketua Menteri dan Barisan Nasional (BN) dalam bentuk undi pada 7 Mei ini.

Beliau menambah, usaha Adenan yang konsisten berjaya meletakkan Sarawak pada platform rundingan lebih baik dengan Putrajaya sekali gus mengukuhkan lagi hubungan antara negeri ini dengan kerajaan persekutuan.

Menurut beliau, ia merupakan kelebihan bagi Adenan untuk meraih sokongan rakyat bersama Pasukan Adenan bagi mendapatkan majoriti lebih kukuh daripada yang diperolehi pada 2011.

Sarawak terus berjaya memperolehi majoriti dua pertiga tanpa gagal dalam pilihan raya malah dalam pilihan raya tergempar apabila Tun Taib membubarkan Dewan Undangan Negeri pada 1987 dalam usaha menyatukan semula keadaan politik selepas krisis dalaman Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Sarawak mampu memperolehi majoriti dua pertiga di DUN kali ini, sesuatu yang tidak dapat dilakukan Kuala Lumpur memandangkan realiti politik yang melanda Semenanjung Malaysia,” katanya.

Siva turut melahirkan keyakinan bahawa Adenan akan diberi mandat apabila berjaya mengambil cengkaman kukuh dalam situasi politik sejak mengambil alih jawatan Ketua Menteri pada 2014.

Mengulas lanjut mengenai masyarakat India, Siva berkata meskipun dibelenggu beberapa isu, ia akan dapat diselesaikan apabila pilihan raya kali ini membawa kemenangan lebih besar kepada BN Sarawak.

Isu-isu itu termasuk penempatan kaum India dalam Perkhidmatan Awam Negeri, bantuan kebajikan kepada keluarga yang terperangkap dalam kemiskinan serta pinjaman untuk perniagaan kecil.

Masyarakat India di Kuching yang banyak tertumpu di kawasan Matang, Batu Kawa, Batu Kitang dan Batu Lintang telah berdiri penuh kesetiaan di belakang calon BN daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) selama ini.

Sementara itu, Siva turut melahirkan kebimbangan apabila Kuil Sreenivasagar Kaliamman di Jalan Ban Hock tidak dapat mendirikan menara utama (Rajagopuram) yang separuh dibina dengan struktur asas namun tidak dapat disiapkan apabila kekurangan peruntukan.

Selain itu, Kuil Sri Maha Mariamman yang dijadualkan untuk menjalankan upacara dan ritual pentahbisan (sekali dalam 12 tahun) pada 2017, telah beroperasi tanpa sami selama lebih daripada setahun.

“Ini menurunkan motivasi para penganut di kuil ini dan menjadi kebimbangan Hindu Sangam Malaysia,” katanya.