Projek jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit dimulakan

0
TERMETERAI: CEO Debessa Development Sdn Bhd Leonard Martin Uning (dua kiri) menerima kontrak fasa 2 Pakej A jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh daripada Zuraimi sambil disaksikan Manyin (tengah).

TERMETERAI: CEO Debessa Development Sdn Bhd Leonard Martin Uning (dua kiri) menerima kontrak fasa 2 Pakej A jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh daripada Zuraimi sambil disaksikan Manyin (tengah).

KUCHING: Projek jalan akses ke Empangan Hidroelektrik Baleh, Kapit dimulakan dengan pelaksanaan Pakej A (fasa dua-tujuh) membabitkan kos sebanyak RM561 juta.

Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Perhubungan Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata fasa dua hingga tujuh pakej itu adalah sejauh 37 kilometer dan melibatkan pembinaan lapan jambatan.

“Hari ini (semalam) kontrak yang ditandatangani hanya melibatkan enam fasa dalam Pakej A iaitu Fasa Dua hingga Tujuh melibatkan jarak jalan 37km dan lapan jambatan dengan kos RM561 juta.

“Fasa satu iaitu yang berongkos RM103 juta melibatkan jarak 5km sedang dalam proses menganugerahkan tender,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak untuk Pakej A (Fasa 2-7) Projek Jalan Akses Ke Tapak Empangan Hidro Elektrik Baleh, Kapit antara Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selaku agensi pelaksana dengan empat syarikat kontraktor.

Syarikat kontraktor berkenaan ialah Debessa Development Sdn Bhd, Pekerjaan Piasau Konkerit Sdn Bhd, Untang Jaya Sdn Bhd dan Samado Sdn Bhd.

Hadir sama Menteri Kemajuan Tanah Tan Sri Datuk Amar James Masing, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) Tan Sri Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Pengarah JKR Sarawak Zuraimi Sabki dan Residen Kapit Joseph Belayong.

Mengulas lanjut mengenai jalan akses itu, Manyin berkata pada keseluruhannya ia sepanjang 73 km dan 27 jambatan dan dibahagikan kepada tiga pakej dengan kos RM1.4 bilion.

Pakej A (Fasa 1-7) bermula dari KM0.00 ke KM36.258 termasuk lapan jambatan manakala Pakej B (Fasa 1-2) dari KM36.258 ke KM50.698 termasuk 10 jambatan sementara Pakej C (Fasa -15) bermula dari KM50.698 ke KM73.3 dan sembilan jambatan, jelasnya.

Fasa dua hingga tujuh Pakej A itu dijadual siap dalam tempoh 36 bulan dan jenis jalan dibina ialah ‘R3 Standard’.

Sementara itu Wilson berkata jalan akses berkenaan merupakan sebahagian projek di bawah Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) yang dibangun bersama Pusat Pertumbuhan Bukit Mabong (Tunoh).

Beliau menjelaskan bahawa projek jalan akses itu dibangunkan secara usaha sama antara RECODA, Sarawak Energy Berhad (SEB) dan beberapa agensi lain.

“Komponen pertama iaitu jambatan Batang Baleh, bernilai RM77 juta sudah siap dan pembangunan komponen seterusnya sekarang ialah Pakej A, B dan C.

“Projek jalan akses ini berperanan sebagai ‘ejen perubahan’ kepada kawasan Baleh dan Kapit apabila ia siap sepenuhnya nanti,” kata Wilson.