Tanggapan dunia Penan ketinggalan tidak benar

0
CUBA: Datuk Seri Najib memakai topi kaum Penan sambil diperhatikan (dari kiri) Majang, Datuk Dr. Rundi dan Datuk Hassan Sui.

CUBA: Datuk Seri Najib memakai topi kaum Penan sambil diperhatikan (dari kiri) Majang, Datuk Dr. Rundi dan Datuk Hassan Sui.

Dasar kerajaan melahirkan ramai yang berpendidikan, menikmati kehidupan semakin moden: PM

Oleh Sudan Ajang //

SUAI: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sangkaan dunia luar seperti Bruno Manser bahawa kaum Penan masih mundur tidak benar sama sekali kerana mereka berpendidikan dan semakin moden.

Perdana Menteri berkata, ini membuktikan polisi kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pilih bulu dalam memastikan tiada satu kaum terpinggir daripada arus kemajuan.

“Anggapan dunia luar seperti dikatakan Bruno Manser bahawa kaum Penan masih berpindah-randah, bercawat dan ketinggalan adalah tidak benar sama sekali.

“Hari ini mata saya sendiri nampak Penan moden, ada pendidikan dan berkaliber,” katanya di hadapan kira 3,000 rakyat di rumah panjang Penan di Kampung Mareng Penan, Jambatan Suai Niah, kira-kira 122km dari Miri.

Rumah panjang 36 pintu itu merupakan rumah panjang termoden kaum Penan di Sarawak.

Hadir sama calon BN Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Utom, calon BN DUN Samalaju Majang Renggi dan ketua masyarakat Penan Sarawak, Temenggung Datuk Hassan Sui.

Najib dalam pada itu memuji dan kagum dengan Datuk Hassan yang berjaya meletak diri sebagai Penan paling berjaya di Malaysia.

“Datuk Hassan hanya berkelayakan setakat Darjah 6, cuba bayangkan jika beliau dapat ke universiti, memang beliau layak.

“Sehubungan itu kita di bawah BN mahu lebih ramai anak Penan masuk universiti demi masa depan lebih maju,” katanya.

Pada majlis yang sama, Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk menaik taraf kemudahan di rumah panjang Penan di Kampung Mareng Penan dan RM200,000  untuk Persatuan Pembangunan Tipun Penan Sarawak (PETIPUN) untuk pendidikan anak-anak Penan.

Beliau turut menyampaikan Surat Kelulusan Skim Pinjaman Rumah Panjang untuk 36 pintu rumah panjang Mareng Penan dan 89 pintu rumah panjang RH Ngipa Tinggang di Sebauh, Bintulu.

Terdahulu Hassan Sui berkata, kira-kira 18,000 kaum Penan di seluruh Sarawak berjanji memberi sokongan tanpa berbelah bahagi terhadap kepimpinan Najib.

“Sebagai ketua masyarakat Penan, saya cukup bertuah dan gembira dengan lawatan Najib ke sini.

“Ini yang terbaik setakat ini. Saya berjanji lakukan terbaik untuk membuktikan apa bantuan kerajaan akan saya laksanakan dengan baik,” katanya.